Isu subsidi: Rafizi terpisah daripada realiti rakyat - Nurul Syazwani

Iklan
Rafizi dan Nurul Syazwani

KUALA SELANGOR - Kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang melabel pendekatan subsidi minyak mentah terdahulu sebagai tahyul lama bersifat angkuh dan menunjukkan betapa terpisahnya pemimpin daripada realiti sebenar rakyat di bawah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kenyataan sedemikian menunjukkan seolah-olah wujud jurang besar antara pemimpin dan kehidupan sebenar rakyat khususnya di luar bandar yang masih bergantung kepada bantuan subsidi.

Iklan
Iklan

"Ini bukan soal teori ekonomi, tetapi soal perut rakyat, bila subsidi ditarik, kesannya bukan teori semata-mata," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nurul Syazwani menjelaskan, di kawasan luar bandar, subsidi bahan api merupakan keperluan asas yang menjadi nadi kepada kelangsungan hidup golongan seperti pesawah, nelayan dan peniaga kecil.

Iklan

"Pesawah guna diesel untuk jentera bukan untuk gaya hidup, begitu juga nelayan bergantung kepada subsidi untuk turun ke laut.

"Peniaga kecil pula menanggung setiap kenaikan kos pengangkutan," jelas beliau.

Iklan

Nurul Syazwani menegaskan, sebarang pengurangan atau penarikan subsidi memberi kesan langsung kepada rakyat dan bukan sekadar angka di atas kertas.

Beliau turut mempersoalkan sama ada penderitaan rakyat ketika ini turut dianggap sebagai tahyul, selain mendakwa kerajaan perlu lebih memahami keadaan sebenar di lapangan.

"Kenyataan seperti ini menghina realiti rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat," tambah beliau.

Mengulas lanjut, Nurul Syazwani memaklumkan, subsidi sebelum ini dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan kepada rakyat, walaupun sistem pelaksanaannya tidak sempurna.

Katanya, situasi semasa menunjukkan beberapa perubahan dasar termasuk pengurangan subsidi yang dibuat secara berperingkat, namun pada masa sama rakyat masih menanggung tekanan kos sara hidup.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya menumpukan usaha menangani isu ketirisan dan pembaziran sebelum membebankan rakyat dengan dasar baharu.

"Jika benar mahu menyelamatkan fiskal negara, mulakan dengan hapuskan ketirisan, perangi pembaziran dan pastikan hasil negara kembali kepada rakyat," tambah beliau.

Beliau menegaskan, rakyat luar bandar masih sangat bergantung kepada subsidi dan ia bukan sekadar nostalgia politik, sebaliknya realiti kehidupan semasa.

"Apabila pemimpin mula melabel kesusahan rakyat sebagai tahyul, itu tanda mereka sudah terlalu jauh daripada denyut nadi rakyat," tambah beliau.

Terdahulu, Rafizi dilaporkan berkata, rakyat Malaysia tidak boleh lagi hidup dengan tahyul lama apabila menganggap negara ini masih mempunyai ruang besar untuk menanggung subsidi seperti dahulu.

Menurut Rafizi, pada ketika ini, jumlah pengeluaran minyak mentah negara sudah menurun berbanding pengeluaran pada 2008.