16 cedera tembakan di sekolah di Turkiye

Iklan
Pasukan polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi bekas pelajar melepaskan tembakan. Foto Reuters

ISTANBUL - Seramai 16 individu tercedera apabila seorang bekas pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di wilayah tenggara Turkiye pada Selasa, lapor BBC.

Kejadian itu berlaku sekitar jam 9.30 pagi waktu tempatan di Sekolah Menengah Vokasional dan Teknikal Anatolia Ahmet Koyuncu di daerah Siverek.

Iklan
Iklan

Gabenor tempatan, Hasan Sildak berkata, penyerang yang dipercayai berusia lewat belasan tahun melepaskan tembakan secara rambang menggunakan senapang patah.

Katanya, lelaki terbabit bagaimanapun bertindak membunuh diri selepas dikepung polis.

Iklan

Gabenor tempatan memaklumkan lokasi serangan di sebuah sekolah di Turkiye disahkan selamat. Foto Reuters

Tambah beliau, mangsa yang cedera melibatkan 10 pelajar, empat guru, seorang pekerja kafeteria dan seorang anggota polis.

Iklan

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital, dengan lima daripadanya kemudian dipindahkan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Motif serangan masih belum diketahui dan siasatan telah dijalankan.

Sildak turut memaklumkan bahawa penyerang tidak mempunyai rekod jenayah dan sekolah berkenaan sebelum ini dianggap selamat oleh pihak polis.

Insiden tembakan di sekolah jarang berlaku di Turkiye.