Ekonomi global suram, perang di Iran lembabkan pertumbuhan - IMF

Iklan
IMF turut memberi amaran pertumbuhan global boleh merosot kepada 2 peratus dengan inflasi meningkat sehingga 6 peratus. Foto Reuters

WASHINGTON - Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dipetik The New York Times mendedahkan, peperangan di Timur Tengah kini melumpuhkan ekonomi dunia.

Pada masa sama, ia mencetuskan kebimbangan gangguan pasaran minyak yang boleh memperlahankan pertumbuhan, meningkatkan inflasi dan risiko kemelesetan global.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Prospek Ekonomi Dunia terbaharu, ekonomi global yang sebelum ini berdaya tahan mendepani pandemik dan konflik Rusia-Ukraine, kini terhenti susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melancarkan peperangan di Iran.

Ketua Ahli Ekonomi IMF, Pierre-Olivier Gourinchas berkata, prospek global berubah menjadi suram secara mendadak apabila konflik itu mengganggu trajektori pertumbuhan stabil yang dicapai sebelum ini.

Iklan

IMF dalam laporan sama menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2026 kepada 3.1 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, susulan kesan penutupan Selat Hormuz yang menjejaskan penghantaran minyak dunia.

Konflik berkenaan turut mencetuskan lonjakan harga komoditi apabila harga minyak melepasi AS$100 setong, gas asli meningkat lebih 80 peratus, manakala kenaikan harga baja memberi tekanan kepada kos operasi sektor pertanian global.

Iklan

IMF turut memberi amaran, sekiranya gangguan tenaga berlarutan sehingga tahun depan, pertumbuhan global boleh merosot kepada 2 peratus dengan inflasi meningkat sehingga 6 peratus.

Laporan itu dikeluarkan ketika mesyuarat musim bunga IMF dan Bank Dunia berlangsung di Washington, namun perbincangan kini tertumpu kepada konflik geopolitik berbanding agenda asal termasuk kecerdasan buatan dan perdagangan global.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam kenyataannya menggesa, IMF dan Bank Dunia kembali kepada misi teras memastikan kestabilan kewangan dan pembasmian kemiskinan, tanpa menyentuh secara langsung kesan peperangan di Iran.

Dalam perkembangan sama, laporan itu menyatakan Rusia muncul sebagai penerima manfaat apabila ekonominya dijangka berkembang 1.1 peratus pada 2026, disokong kenaikan harga minyak global serta pelonggaran sementara sekatan Amerika Syarikat terhadap eksport minyak negara itu.

Bagi ekonomi maju seperti Amerika Syarikat, kesan paling ketara dirasai pengguna apabila harga petrol meningkat kepada purata AS$4.11 segelen.

IMF menegaskan, negara berpendapatan rendah dan membangun bakal menerima impak paling buruk akibat kerosakan infrastruktur serta gangguan eksport susulan krisis yang semakin memuncak.