Titah Sultan Nazrin isyarat jelas, mandat tindakan segera

Iklan
Sultan Nazrin menekankan keperluan segera menaik taraf JRTB Jeli–Gerik susulan kadar kemalangan yang membimbangkan saban tahun. Foto fail Bernama

DALAM titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baginda menyentuh beberapa perkara, antara lain ancaman perubahan iklim, keperluan segera menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli–Gerik dan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.

Berhubung isu ancaman perubahan iklim, baginda mencadangkan supaya langkah mitigasi dilaksanakan secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Hal ini kerana pada hemat baginda, dunia kini berdepan peningkatan mendadak fenomena cuaca ekstrem seperti banjir dan kemarau yang semakin kerap berlaku, sekali gus memberi tekanan besar terhadap daya tahan infrastruktur sedia ada.

Menurut Sultan Nazrin, kejadian bencana meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berbanding purata yang direkodkan antara 2003 hingga 2020, berpandukan data satelit NASA.

Iklan

Atas dasar itu, langkah-langkah proaktif mitigasi banjir mesti diutamakan demi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat.

Selain itu, baginda turut menekankan keperluan segera menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli–Gerik susulan kadar kemalangan yang membimbangkan saban tahun.

Iklan

Baginda juga mengimbau kembali tragedi menyayat hati pada 9 Jun 2025 yang melibatkan 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan pulang ke kampus, dengan 15 daripadanya meninggal dunia.

Bukan itu sahaja, sepanjang 2025, laluan tersebut mencatatkan 413 insiden kemalangan, mengakibatkan 26 nyawa terkorban di samping 27 orang mengalami kecederaan parah.

Malah, sebanyak 20 insiden kemalangan yang direkodkan turut melibatkan haiwan.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin membangkitkan krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik di Asia Barat.

Baginda berpandangan bahawa ia perlu dijadikan isyarat jelas kepada negara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Tegas baginda, kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh atau sekadar menjadi pemerhati pasif, sebaliknya perlu proaktif dengan merintis langkah-langkah bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional tersebut.

Titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 bukan sekadar peringatan biasa, sebaliknya turut membawa mesej mendalam mengenai isu kritikal dalam negara.

Justeru, kerajaan perlu melihat titah ini sebagai satu mandat moral untuk bertindak segera.

Isu keselamatan jalan raya, perubahan iklim dan krisis tenaga bukan perkara terpisah, tetapi sebahagian daripada agenda besar negara, iaitu melindungi rakyat, menjamin kestabilan ekonomi serta membina masa depan yang lebih mampan.