Rundingan dengan Iran gagal capai persetujuan - Vance

Iklan
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif (kanan) berbincang dengan Vance semasa pertemuan mereka di tengah-tengah rundingan damai antara AS dan Iran di Islamabad.

ISLAMABAD, Pakistan - Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance berkata pada Ahad bahawa rundingan dengan Iran gagal mencapai sebarang persetujuan, sambil memaklumkan beliau meninggalkan perbincangan selepas mengemukakan 'tawaran terakhir dan terbaik.

Vance memberi isyarat bahawa beliau masih memberikan masa kepada Iran untuk mempertimbangkan tawaran daripada AS, yang pada Selasa lalu menyatakan akan menghentikan sementara serangan bersama Israel selama dua minggu bagi memberi ruang kepada rundingan.

Iklan
Iklan

“Kami meninggalkan tempat ini dengan satu cadangan yang sangat mudah, satu kaedah persefahaman yang merupakan tawaran terakhir dan terbaik kami. Kita akan lihat sama ada pihak Iran menerimanya,” kata Vance kepada wartawan selepas 21 jam rundingan di ibu negara Islamabad.

Menurut beliau, pertikaian utama tertumpu kepada isu senjata nuklear. Iran menegaskan ia tidak membangunkan bom atom, manakala AS dan Israel telah menyerang lokasi sensitif di Iran dalam perang yang bermula pada 28 Februari lalu serta serangan pada tahun sebelumnya.

Iklan

“Hakikatnya, kami perlu melihat komitmen jelas bahawa mereka tidak akan berusaha mendapatkan senjata nuklear dan tidak akan mencari keupayaan yang membolehkan mereka mencapainya dengan cepat,” katanya.

“Persoalan mudahnya ialah, adakah kita melihat komitmen asas daripada pihak Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear — bukan sahaja sekarang, bukan hanya dua tahun akan datang, tetapi untuk jangka panjang?

Iklan

“Kami masih belum melihat perkara itu. Kami berharap ia akan berlaku.”

Dalam kenyataan ringkas di sebuah hotel mewah di Islamabad yang menjadi lokasi rundingan kedua-dua pihak, Vance tidak menyentuh secara terperinci mengenai satu lagi isu penting iaitu pembukaan semula Selat Hormuz, laluan sempit yang dilalui kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Beliau turut menegaskan bahawa Presiden Donald Trump yang pada Sabtu di Washington menyatakan tidak kisah sama ada perjanjian dicapai atau tidak, telah menunjukkan sikap bertolak ansur dalam rundingan tersebut.

“Saya fikir kami sangat fleksibel dan bersedia berkompromi. Presiden memberitahu kami supaya datang dengan niat baik dan melakukan usaha terbaik untuk mencapai perjanjian.

“Kami telah berbuat demikian, namun malangnya kami tidak berjaya mencapai kemajuan,” dakwanya. - AFP