AS didakwa setuju lepas aset Iran dibekukan di Qatar, bank asing

Iklan
Utusan khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner tiba di Islamabad bagi menghadiri rundingan dengan Iran, disambut Ketua Tentera Pakistan, Asim Munir dan Menteri Luar, Mohammad Ishaq Dar. FOTO: Kementerian Luar Pakistan/Reuters

DUBAI - Amerika Syarikat (AS) didakwa bersetuju untuk melepaskan aset Iran yang dibekukan di Qatar dan beberapa bank asing lain, namun dakwaan itu segera dinafikan oleh pegawai AS.

Menurut laporan Reuters, sumber kanan Iran yang enggan dinamakan berkata, langkah itu dilihat sebagai tanda kesungguhan Washington dalam mencapai perjanjian dengan Tehran dengan isu laluan di Selat Hormuz dijangka menjadi antara fokus utama rundingan di Islamabad.

Iklan
Iklan

Sumber kanan itu tidak menyatakan nilai aset yang dipersetujui oleh Washington untuk dilepaskan, manakala seorang lagi sumber Iran memaklumkan, Washington didakwa bersetuju melepaskan dana berjumlah AS$6 bilion (RM23.8 bilion) yang kini disimpan di Qatar.

Kementerian Luar Qatar tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen.

Iklan

Dana berkenaan asalnya dibekukan pada 2018 susulan sekatan yang dikenakan semula oleh pentadbiran Donald Trump terhadap Iran selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear antara Teheran dan kuasa dunia.

Wang itu berpunca daripada hasil jualan minyak Iran kepada Korea Selatan dan disimpan di bank negara tersebut sebelum dipindahkan ke akaun di Qatar pada 2023.

Iklan

Pemindahan itu dibuat sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan antara AS dan Iran yang dimediasi oleh Doha, melibatkan pembebasan lima warga AS di Iran dan lima rakyat Iran di AS.

Bagaimanapun, dana tersebut kembali dibekukan oleh pentadbiran Joe Biden selepas serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel oleh Hamas.

Pada ketika itu, pegawai AS menegaskan Iran tidak akan dapat mengakses dana berkenaan dalam masa terdekat dan Washington berhak membekukan sepenuhnya akaun tersebut.

Sebelum ini, pihak AS menetapkan dana tersebut hanya boleh digunakan bagi tujuan kemanusiaan, termasuk pembelian makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan barangan pertanian.

Penggunaan dana itu juga tertakluk kepada pemantauan ketat Jabatan Perbendaharaan AS.