MERBOK – Produk kraf batik secara lazimnya dihasilkan di negeri Pantai Timur mendapat permintaan sehingga ke luar negara dan mampu menjadi tarikan pelancongan sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Namun, siapa sangka Kedah sebagai negeri pengeluar padi turut mengangkat martabat seni dan warisan ini dengan jenama Batik Merbok sehingga berjaya menembusi pasaran ke peringkat antarabangsa.
Lebih eksklusif, Batik Merbok yang diusahakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah turut mendapat perkenan tempahan daripada kerabat diraja Kedah.
Penyelaras Batik Merbok, Nizar Nazrin berkata, Batik Merbok pernah menerima permintaan dari luar negara termasuk pelancong Australia yang berkunjung ke galeri di UiTM untuk membuat tempahan.
Jelas beliau, penghasilannya berdasarkan motif tertentu mempunyai daya tarikan tersendiri yang melambangkan sejarah, alam sekitar, budaya dan khazanah tidak ternilai.
"Keunikan batik ini terletak pada 'jiwa' setiap motif yang dihasilkan. Antaranya bakau, padi, ukiran, burung merbok, tulisan sanskrit, batu-bata dan labah-labah.
"Umum mengetahui bakau di Sungai Merbok diiktiraf mempunyai 42 spesies daripada 60 spesis bakau di dunia."Padi pula diusahakan rakyat Kedah dan menjadi sumber bekalan makanan asas negara, Kedah juga terkenal sebagai Negeri Jelapang Padi," katanya.
Nizar yang juga Pensyarah Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Kedah berkata, motif burung merbok diinspirasikan daripada mata burung tersebut yang disesuaikan dan diterjemahkan kepada rekaan batik.
Menurutnya, motif batu-bata pula mengingatkan tentang binaan candi di Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu.
Sementara itu, Nizar berkata, motif tulisan sanskrit tercetus dari penemuan artifak kepingan batu, serpihan tembikar dan arca sekitar Lembah Bujang yang membuktikan wujudnya aktiviti perdagangan dan penyebaran agama yang aktif suatu ketika dahulu.
Katanya, rekaan corak dan motif yang dihasilkan dalam sesuatu kraf, mengikut kehendak pelanggan, kemudian akan diserahkan kepada pencanting mahir dan berpengalaman untuk proses seterusnya.
"Keistimewaan Batik Merbok terletak pada sentuhan eksklusif, dihasilkan melalui proses canting yang memerlukan ketelitian dan kreativiti tersendiri.
"Namun, sekiranya menerima tempahan dalam jumlah besar dan pelanggan bersetuju untuk menggunakan kaedah cop atau tekad, penghasilan secara pukal tetap diterima, contohnya untuk baju asrama," jelas beliau.
Beliau berkata, penghasilan Batik Merbok diharap mampu memenuhi permintaan secara lebih meluas sekali gus memenuhi cita rasa pelanggan termasuk generasi muda agar menghargai serta mewarisi penghasilan kraf ini.
"Setiap corak, motif dan keindahan batik melambangkan identiti, sejarah, budaya dan keunikan negeri, sekali gus menjadi medium memperkenalkan Kedah kepada masyarakat luar termasuk di peringkat antarabangsa," katanya.