MALAYSIA kini berada dalam kedudukan yang boleh disifatkan sebagai 'tahan tetapi terdedah' susulan konflik di Asia Barat, apabila ekonomi negara masih mampu menyerap kejutan dalam jangka pendek, namun berdepan risiko lebih besar sekiranya krisis terus berlarutan.
Dalam tempoh semasa, asas ekonomi negara dilihat masih kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, sektor eksport yang pelbagai serta sistem kewangan yang berdaya tahan.
Pertumbuhan ekonomi kekal pada landasan positif, manakala kadar pengangguran juga rendah, sekali gus mencerminkan keupayaan negara mengekalkan kestabilan dalam suasana global tidak menentu.
Bagaimanapun, kesan pendedahan kepada faktor luaran mula dirasai, khususnya melalui peningkatan harga minyak global akibat ketidaktentuan geopolitik.
Walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak, kenaikan harga tetap memberi kesan kepada pengguna dan industri tempatan, terutama dari segi kos pengangkutan dan pengeluaran.
Situasi ini turut memberi tekanan kepada inflasi apabila peningkatan kos operasi mendorong syarikat memindahkan sebahagian beban kepada pengguna.
Secara tidak langsung, kos sara hidup meningkat secara beransur-ansur dan menjejaskan kuasa beli rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Malaysia juga bergantung kepada kelancaran perdagangan global.Sebarang gangguan terhadap laluan perdagangan utama atau rantaian bekalan antarabangsa boleh memberi kesan kepada eksport dan import negara, sekali gus menjejaskan momentum pertumbuhan.
Dalam jangka pendek, kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengurangkan kesan melalui langkah seperti subsidi bahan api dan kawalan harga bagi melindungi rakyat.
Namun, pendekatan ini mempunyai had kerana melibatkan komitmen fiskal yang tinggi dan tidak boleh dilaksanakan secara berpanjangan.
Sehubungan itu, langkah jangka panjang perlu diperkukuh bagi memastikan daya tahan ekonomi negara kekal mampan.
Antaranya ialah memperkukuh ekonomi domestik dengan merangsang sektor perusahaan kecil dan sederhana serta menggalakkan penggunaan produk tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran.
Selain itu, usaha mempelbagaikan sumber import dan rantaian bekalan perlu dipergiat, termasuk mendapatkan bahan mentah dari pelbagai negara serta membina stok penimbal bagi bahan kritikal.
Langkah ini penting untuk memastikan kesinambungan pengeluaran industri.
Peralihan kepada tenaga boleh baharu juga perlu dipercepat bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik.
Dalam masa sama, kawalan inflasi secara bersasar perlu dilaksanakan bagi melindungi golongan rentan tanpa membebankan kedudukan fiskal negara.
Malaysia juga perlu memperluas pasaran eksport ke rantau baharu serta memperkukuh hubungan perdagangan bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada pasaran tertentu.
Pada masa sama, disiplin fiskal dan pengukuhan rizab negara perlu diberi perhatian bagi memastikan kerajaan mempunyai ruang bertindak ketika krisis.
Secara keseluruhannya, Malaysia masih mampu bertahan dalam menghadapi kesan awal konflik Asia Barat.
Namun, kedudukan sebagai ekonomi terbuka menjadikan negara terdedah kepada tekanan luaran, sekali gus menuntut pendekatan strategik dan berjangka panjang bagi memastikan kestabilan dan daya tahan ekonomi terus terpelihara.
*Mohd Azlim Zainury Mat Noor ialah wartawan Sinar harian