SHAH ALAM - Kebenaran diberikan kepada kapal Malaysia yang membawa sejuta tong minyak mentah untuk melalui Selat Hormuz melegakan kebimbangan rakyat negara ini.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai bagaimanapun berkata, jumlah itu hanya sebahagian kecil daripada keperluan bulanan negara namun dapat membantu menenangkan sentimen jangka pendek.
Menurut beliau, stabiliti sebenar memerlukan konsisten beberapa penghantaran bahan mentah tersebut.
"Kebenaran yang diberikan itu tanda positif tetapi bukan bukti penuh keadaan sudah kembali seperti biasa. Laluan mungkin buka secara terhad dan untuk normal sepenuhnya memerlukan pola aliran konsisten, keselamatan berterusan serta kebenaran kapal-kapal lain berulang," katanya kepada Sinar Harian.
Barjoyai berkata, risiko kekal tinggi sekiranya konflik, serangan atau sekatan berterusan, antaranya disebabkan tindakan ketenteraan, lanun, keselamatan pelabuhan serta respons diplomatik.
"Dalam beberapa minggu, kenaikan harga petrol dan diesel boleh berlaku lagi, manakala barangan pengguna mungkin mengambil masa sekitar satu hingga tiga bulan apabila kos pengangkutan atau pengeluaran meningkat," katanya.
Barjoyai sehubungan itu menyarankan, pengguna dan pemilik perniagaan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api.
"Bagi pemilik perniagaan, usaha mengoptimumkan rantaian bekalan seperti mencari pembekal alternatif dan meningkatkan simpanan stok bahan penting bagi mengurangkan risiko gangguan operasi," katanya.
Tambah beliau, penambahbaikan logistik termasuk penggabungan penghantaran dan penggunaan laluan lebih efisien juga boleh membantu mengurangkan kos.
"Selain itu, peningkatan kecekapan tenaga, rundingan semula kontrak serta pelaksanaan caj bahan api secara telus kepada pelanggan merupakan antara langkah yang boleh dipertimbangkan," katanya.