Konflik Asia Barat: Trump setuju gantung serangan ke atas Iran selama dua minggu

Iklan
Trump mendakwa telah bersetuju untuk menggantung serangan ketenteraan terhadap Iran selama tempoh dua minggu.

WASHINGTON - [DIKEMAS KINI] Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa telah bersetuju untuk menggantung serangan ketenteraan terhadap Iran selama tempoh dua minggu, tertakluk kepada pembukaan penuh dan selamat Selat Hormuz oleh negara Republik Islam itu.

Perkara tersebut diumumkan Trump menerusi satu hantaran di media sosial pada Rabu, susulan perbualannya dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, serta Ketua Angkatan Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir.

Iklan
Iklan

Menurut Trump, keputusan itu turut dibuat atas permintaan kepimpinan Pakistan agar Amerika Syarikat menangguhkan “penggunaan kekuatan pemusnah” yang didakwa telah dirancang terhadap Iran pada malam yang sama.

“Ini akan menjadi gencatan senjata dua hala,” kata Trump, sambil menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah mencapai semua objektif ketenteraan yang ditetapkan.

Iklan

Dalam kenyataan sama, Trump turut mendakwa, rundingan ke arah perjanjian keamanan jangka panjang antara Washington dan Teheran kini berada pada peringkat akhir.

Beliau berkata, Iran telah mengemukakan cadangan 10 perkara yang dianggap mempunyai asas kukuh untuk dimuktamadkan, selain mendakwa sebahagian besar isu pertikaian lampau antara kedua‑dua negara telah dipersetujui.

Iklan

Trump menambah, tempoh dua minggu itu diperlukan bagi memuktamadkan perjanjian berkenaan demi menjamin keamanan bukan sahaja antara Amerika Syarikat dan Iran, tetapi juga kestabilan di Asia Barat.

Iran pada 6 April lalu mengemukakan pelan 10 perkara untuk menamatkan perang dengan AS dan Israel menurut laporan media rasmi negara itu, ketika tekanan meningkat menjelang tarikh baharu ditetapkan Trump.

Pelan tersebut disampaikan melalui Pakistan yang bertindak sebagai perantara utama dalam konflik itu.

Dua pegawai kanan Iran yang enggan dinamakan, berkata, cadangan itu merangkumi jaminan Iran tidak akan diserang lagi, penamatan serangan Israel terhadap Hizbullah di Lubnan, serta penghapusan semua sekatan ekonomi.

Sebagai balasan Iran bersedia menarik sekatan tidak rasmi terhadap Selat Hormuz, yang menjadi nadi utama penghantaran minyak dan gas dunia.

Pelan itu turut mencadangkan bayaran sekitar AS$2 juta daripada setiap kapal yang melalui selat tersebut, yang hasilnya akan dikongsi bersama Oman.

Iran akan menggunakan bahagiannya daripada hasil itu untuk membina semula prasarana yang musnah akibat serangan AS dan Israel, tanpa menuntut pampasan secara langsung.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak Iran atau agensi kerajaan Amerika Syarikat berhubung dakwaan tersebut. - Awani