Pematuhan rakyat terhadap PKP semakin tinggi

Iklan
Pasukan keselamatan membuat pemantauan di sekitar kawasan Pasar Tani Seksyen 16, Shah Alam bagi memastikan setiap pengunjung mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia memaklumkan jumlah tangkapan terhadap individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam ialah 368 orang berbanding 413 orang kelmarin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan jumlah tersebut, berlaku trend penurunan berterusan sejak PKP tahap dua bermula 1 April lalu.

Iklan
Iklan

"PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia telah mengadakan 745 sekatan dan melakukan pemeriksaan ke atas 331,839 kenderaan.

"Sebanyak 25,554 pemeriksaan mengejut dilakukan dan 4,399 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

Iklan

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa ATM dalam usaha membantu PDRM kini telah menggunakan dron bagi melaksanakan pemantauan pergerakan di kawasan-kawasan tertentu," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, setakat semalam, seramai 309 individu direman dan 59 orang dijamin.

Iklan

"Kalau kita lihat kes-kes yang dipenjarakan ini bukan sahaja disebabkan gagal mematuhi PKP tetapi berkaitan kes-kes lain seperti menghalang tugas dan mendatangkan kecederaan kepada polis dengan melanggar sekatan.

"Mereka ini akan dituduh dengan Kanun Keseksaan dan bukan lagi Akta 342 Kementerian Kesihatan," katanya.

Mengulas mengenai Ops Sanitasi Awam Covid-19, Ismail Sabri berkata, sebanyak 83 kawasan di 11 negeri telah melaksanakan operasi nyah cemar antaranya melibatkan rumah ibadat, pasar awam, pasar raya dan kawasan perumahan.

"Turut dinyah cemar ialah 32,268 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan berisiko tinggi, termasuklah unit kediaman (luar dan dalam), surau, dewan serba guna dan taman permainan," katanya.

Mengenai pusat kuarantin katanya, kerajaan telah mewartakan sebanyak 551 pusat tersebut yang mampu menampung lebih 40,000 orang dalam satu-satu masa dan sehingga kini sebanyak 107 pusat kuarantin telah beroperasi sepenuhnya.

Menjawab dakwaan berhubung nasib gelandangan yang tidak terbela, beliau berkata, pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menempatkan kumpulan tersebut di tiga lokasi.

"Di pusat ini, mereka diberikan makan minum. Sebenarnya tidak timbul isu gelandangan masih terbiar tanpa bantuan," katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, Kementerian Luar sedang mengambil tindakan sewajarnya terhadap rakyat Malaysia yang kini berada di pusat kuarantin di India yang ingin pulang ke negara ini.