KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sebuah bilik tingkat atas rumah tumpangan dalam keadaan bersesak di Kampung Semut Api di sini pada Isnin.
Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 36 tahun itu ditandakan pada pergelangan tangan dengan tali merah.
Timbalan Pengarah JIM Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, ia dipercayai untuk pengecaman oleh transporter.
"Mereka yang terdiri daripada tiga wanita dan 10 lelaki itu dibawa masuk melalui Sungai Kelantan menggunakan bot dari negara jiran pada tengah malam sebelumnya.
"Mereka berjaya dikesan hasil risikan semasa Ops Serkap yang dilakukan bermula jam 9.30 pagi dan membabitkan 17 pegawai penguatnkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, setiap PATI dikatakan membayar RM4,500 kepada ejen bagi urusan perjalanan dari Myanmar.
Ujarnya, mereka dibawa masuk untuk bekerja di Ipoh, Perak dan ditempatkan di rumah transit terbabit untuk menunggu kenderaan sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.
Nik Akhtarulhaq memberitahu, kesemua 13 PATI itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat JIM Kelantan untuk siasatan lanjut.
Beliau menegaskan operasi Ops Serkap ini merupakan tindakan tegas pihaknya dalam membanteras penyeludupan PATI, bagi memastikan keselamatan negara dan menghalang aktiviti jenayah rentas sempadan.