JAKARTA - Ribuan berkumpul di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jakarta tengah pada pagi Ahad bagi mengingati tiga anggota tentera Indonesia yang terkorban ketika berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).
Peserta memenuhi kawasan menghala ke Monumen Negara (Monas), berhampiran stesen kereta api Gambir, dengan ada yang membawa bersama kanak-kanak dan bayi seawal 8.30 pagi waktu tempatan, menurut Agensi Berita ANTARA.
Dianjurkan oleh Majelis Ormas Islam (MOI), perhimpunan yang bertemakan"Berjuta Doa untuk Syuhuda” (Jutaan Doa Untuk Para Syuhada), menyaksikan kebanyakan peserta memakai jubah putih dan membawa bendera Indonesia serta Palestin.
Sebuah pentas setinggi kira-kira dua meter didirikan di seberang kedutaan, memaparkan imej tiga tentera yang terkorban.
Ketiga-tiga anggota itu ialah Mejar Inf (Amerta) Zulmi Aditya Iskandar, Sarjan Mejar (Amerta) M. Nur Ichwan dan Koperal Kelas Pertama (Apostum) Farizal Rhomadhon.
Lima lagi anggota TNI cedera dalam kejadian pada 29 dan 30 Mac itu iaitu Prebet Kelas Satu Rico Pramudia yang cedera parah, manakala empat lagi Leftenan Pertama (Inf) Sulthan Wirdean Maulana, Prebet Kelas Satu Deni Rianto, Prebet Kelas Pertama Bayu Prakoso dan Prebet Kelas Satu Arif Kurniawan cedera ringan.
Pada 3 April, tiga lagi pasukan pengaman Indonesia cedera berikutan letupan di El Addaiseh, selatan Lubnan.
Selain mendoakan askar yang terkorban, para peserta menyuarakan sokongan terhadap kemerdekaan Palestin, dengan nyanyian dan lagu mengiringi demonstrasi, manakala bendera Palestin dikibarkan sepanjang acara.
Pada Sabtu, Menteri Luar Sugiono berkata Perancis sebagai pemegang draf untuk Lubnan di Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan permintaan Indonesia untuk mengadakan mesyuarat tergempar mengenai serangan maut terhadap pasukan pengaman di Lubnan. - Bernama