Dunia bergolak, bersedia hadapi krisis

Iklan
PEPERANGAN mengakibatkan kesan buruk berpanjangan kepada ekonomi global termasuk Malaysia. Foto AFP

Perancangan dan persediaan amat penting hadapi krisis global, al-Quran serta hadis ada jawapannya

KETEGANGAN geopolitik antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran sejak lebih sebulan lalu mencetuskan kebimbangan dunia.

Walaupun konflik berlaku jauh dari Malaysia, kesannya tidak berhenti di medan peperangan semata-mata dan jelasnya apabila ketidakstabilan berlaku di Asia Barat itu, harga minyak mentah dunia melonjak serta memberi kesan berantai kepada ekonomi global termasuk negara kita.

Iklan
Iklan

Perunding Pewarisan Harta Islam, Nurha Consultancy, Ustaz Muhammad Nur Hafidz Abd Nasir menjelaskan, apabila kos pengangkutan meningkat disebabkan harga minyak dunia melambung tinggi, harga barangan keperluan yang berkaitan juga akan turut naik.

“Para peniaga terpaksa menyesuaikan harga jualan kerana kos operasi meningkat dan akhirnya penggunalah menjadi pihak yang paling merasai kesan tersebut.

Iklan

USTAZ MUHAMMAD NUR HAFIDZ

“Situasi ini boleh membawa kepada tekanan inflasi yang lebih tinggi dan mengurangkan kuasa beli rakyat,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Iklan

Tambahnya, walaupun Malaysia mempunyai mekanisme subsidi bahan api, kesan tidak langsung tetap berlaku.

“Krisis seperti ini mengingatkan kita bahawa ketidaktentuan ekonomi ini boleh berlaku secara tiba-tiba. Oleh itu, persediaan melalui penjimatan menjadi satu keperluan, bukannya sekadar pilihan,” jelasnya.

Senang sebelum susah

Menurut beliau, Rasulullah SAW telah memberikan prinsip asas dalam menghadapi ketidaktentuan hidup ini berdasarkan hadisnya: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara; Masa mudamu sebelum tua; Sihatmu sebelum sakit; Kayamu sebelum miskin; Lapangmu sebelum sibuk dan hidupmu sebelum mati.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)

“Hadis ini membawa mesej yang sangat jelas bahawa keadaan yang baik tidak akan kekal selama-lamanya dan masa senang perlu digunakan sebaik mungkin untuk membuat persediaan menghadapi kesukaran.

“Dalam konteks ekonomi, ia bermaksud menyimpan ketika stabil sebelum krisis berlaku,” jelasnya.

BERJIMATLAH dalam berbelanja dan mula menyimpan untuk menghadapi krisis global dunia. Foto Canva

Ujarnya, jika dilihat keadaan hari ini, ramai mula berjimat apabila harga barang sudah meningkat namun pendekatan ini kurang berkesan kerana ruang untuk membuat simpanan menjadi semakin sempit.

Sambungnya lagi, kisah dari al-Quran berkaitan Nabi Yusuf AS yang mentafsir mimpi raja Mesir mengenai tujuh tahun kemakmuran diikuti tujuh tahun kemarau, boleh dijadikan panduan.

“Strategi ini melibatkan perancangan selama 14 tahun. Apabila kemarau melanda, simpanan tersebut menjadi penyelamat kepada masyarakat, bahkan Mesir mampu membantu kawasan lain yang turut terjejas.

“Kisah ini menunjukkan bahawa pengurusan krisis memerlukan disiplin dan perancangan jangka panjang. Nabi Yusuf tidak menunggu kemarau berlaku baru mula berjimat tetapi sebaliknya Baginda memulakan simpanan ketika keadaan masih stabil,” ceritanya.

Tegasnya, pengajaran ini sangat relevan dalam konteks hari ini iaitu ketika ekonomi masih bergerak dan pendapatan masih stabil, itulah masa terbaik untuk membina simpanan.

Sekatan ekonomi, kemarau

Meneruskan hujah, Ustaz Muhammad Nur Hafidz menjelaskan, sejarah Islam juga mencatatkan berlaku sekatan ekonomi yang dikenakan Quraisy terhadap Bani Hasyim sekitar tahun ketujuh kenabian (antara 617 hingga 619 Masihi).

DALAM berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, simpanan amat penting. Foto Canva

Begitu juga berlaku pada tahun ke-18 Hijrah (639 Masihi) apabila berlaku kemarau besar yang dikenali sebagai Tahun Abu Ramadah.

“Bekalan makanan berkurang secara drastik, tanah menjadi kering dan keadaan kebuluran melanda masyarakat.

“Langkah ini menunjukkan bahawa perubahan gaya hidup ketika krisis adalah penting. Umar tidak memaksa rakyat berjimat sahaja, bahkan beliau sendiri mempraktikkan kesederhanaan,” jelasnya.