Tingkat dua Pasar Besar Seremban 'banjir', lebih 20 peniaga terjejas

Iklan
Siling premis kedai jahit di Pasar Besar Seremban runtuh berikutan kejadian saluran paip air ke tangki pecah.

SEREMBAN - Lebih 20 peniaga di Pasar Besar Seremban di sini terjejas apabila premis mereka dimasuki air susulan insiden saluran paip tangki pecah yang mengakibatkan tingkat dua bangunan itu dilimpahi air, awal pagi Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 2 pagi apabila air daripada tangki melimpah keluar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat dua tangki air di kawasan pasar berkenaan dan kejadian terbabit hanya melibatkan tangki di sebelah kiri.

Keadaan air dari tangki yang melimpah keluar.

Iklan

“Masalah paip pecah ini sebenarnya berlaku pada awal Mac lalu dan pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah pun mengambil tindakan membaik pulih kerosakan tersebut.

“Namun, seminggu selepas itu, kejadian sama berulang tapi nasib baik kerana berlaku pada waktu siang,” katanya.

Iklan

Kawasan peniaga pakaian di Pasar Besar Seremban dilimpahi air berikutan kejadian saluran paip tangki pecah.

Jelasnya, tindakan menutup paip utama dapat dilakukan lebih cepat berbanding kejadian pada malam Khamis.

“Ketika kejadian jam 2 pagi, kawasan pasar sunyi dan tiada orang. Mujur seorang peniaga yang kebetulan datang nampak limpahan air tersebut.

"Kejadian ini telah menyebabkan kawasan peniaga pakaian dan kedai jahit dimasuki air. Lebih 20 yang terjejas," katanya.

Seh Yong menunjukkan saluran paip yang pecah.

Tambahnya, pihak MBS telah pun mengambil tindakan serta-merta menggantikan paip baharu dan kerja-kerja pembaikan telah pun siap dilakukan.

Sementara itu, peniaga pakaian, Woon Kim Nyuk, 73, berkata, operasi perniagaannya tidak dapat diteruskan seperti biasa kerana kawasan terbabit dimasuki air.

"Kebocoran berlaku sangat teruk dan ada peniaga yang perkakasan mereka rosak kerana siling runtuh," katanya.