PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal sebagai instrumen penilaian sumatif kritikal yang menentukan laluan pendidikan tinggi serta kerjaya murid di Malaysia.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad, seramai 403,200 calon telah berdaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2025.
Data yang dikeluarkan pada 31 Mac 2026 mencatatkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) sebanyak 4.42, iaitu penambahbaikan sebanyak 0.07 mata berbanding tahun 2024 yang mencatatkan 4.49.
Walaupun statistik ini dilihat positif secara kuantitatif, namun timbul persoalan mendalam mengenai kualiti substantif di sebalik angka berkenaan.
Analisis pencapaian calon SPM 2025 dan kelangsungan melahirkan generasi berkualiti
Amalan pelaporan positif yang sering diamalkan oleh pihak berkuasa pendidikan cenderung menonjolkan statistik kecemerlangan tanpa memperincikan tahap penguasaan sebenar murid.
Sebagai contoh, seramai 13,779 calon berjaya merekodkan keputusan cemerlang atau semua A, walaupun angka ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding 14,179 calon pada tahun sebelumnya.
Pendekatan kementerian yang menyifatkan nilai GPK tahun ini sebagai rekod terbaik dalam tempoh lima tahun wajar diperhalusi semula kerana ia dilihat lebih tertumpu kepada pembentukan persepsi kejayaan yang ideal di mata rakyat berbanding kesiapsiagaan graduan dalam memenuhi tuntutan pasaran kerja global yang dinamik.
Menyingkap data tahun 2024, kadar murid yang Layak Mendapat Sijil (LMS) adalah tinggi iaitu mencecah 94.2% (356,646 orang).
Namun, timbul satu persoalan kritikal apabila statistik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendedahkan hanya 42.22% daripada kumpulan tersebut menerima tawaran ke IPTA atau MARA.
Situasi ini menunjukkan wujudnya kelompangan yang signifikan sebanyak 57.78%, atau kira-kira 206,000 murid, yang tidak memperoleh tempat dalam sistem universiti awam.
Jurang sebanyak 57.78% lepasan SPM 2024 yang tidak mendapat penempatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sehingga terpaksa memilih antara pengajian di sektor swasta atau terus memasuki pasaran kerja mengundang tanda tanya besar.
Isu kecukupan kurikulum dalam membekalkan kemahiran teknikal (hard skills) kini menjadi semakin mendesak untuk dinilai semula.
Fenomena ini memberikan isyarat jelas mengenai wujudnya ketidakpadanan (mismatch) antara kriteria kelayakan di peringkat persekolahan dengan piawaian kompetensi yang dituntut oleh institusi pendidikan tinggi serta keperluan industri semasa.
Dispariti geografi dan sosioekonomi serta kesiapsiagaan kurikulum 2027
Isu kualiti pendidikan ini turut berkait rapat dengan jurang geografi dan sosioekonomi yang masih membelenggu dalam sistem pendidikan negara.
Merujuk kepada Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 yang diterbitkan oleh Lembaga Peperiksaan, wujud pola ketidaksamarataan yang ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.
Analisis trend menunjukkan bahawa murid di kawasan bandar, khususnya di pusat pentadbiran seperti Putrajaya, mempunyai akses kepada infrastruktur pendidikan moden. Ia termasuk integrasi teknologi digital dan fasiliti STEM yang lengkap.
Sebaliknya, institusi pendidikan di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak, dan beberapa negeri di Pantai Timur masih berhadapan dengan kekangan infrastruktur asas dan sekolah daif.
Isu kedaifan fizikal sekolah dan jurang akses digital ini secara langsung menyumbang kepada"pendidikan dua kasta".
Implikasinya, murid luar bandar sering terperangkap dalam pencapaian tahap minimum yang mengehadkan mobiliti sosioekonomi mereka untuk bersaing di peringkat pendidikan tinggi yang lebih kompetitif.
Transisi ke arah Kurikulum 2027 menuntut anjakan paradigma dalam metodologi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Transformasi ini beralih daripada sistem yang berorientasikan peperiksaan kepada pendekatan yang lebih dinamik dengan memberikan penekanan terhadap pembangunan kompetensi serta pembentukan karakter murid secara holistik.
Walau bagaimanapun, keberkesanan dasar baharu ini amat bergantung kepada dua faktor utama iaitu tahap kompetensi guru serta kualiti infrastruktur sekolah.
Guru sebagai penggerak utama memerlukan sokongan latihan yang berterusan bagi menguasai pedagogi yang disasarkan oleh KPM selain perlu dibebaskan daripada bebanan tugas pentadbiran agar tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada inovasi di dalam bilik darjah.
Namun sehingga kini, pihak kerajaan dilihat agak lembab menyelesaikan isu beban tugas guru. Perkara ini secara tidak langsung akan menjejaskan kualiti penyampaian kurikulum baharu.
Selain itu, sebarang usaha transformasi kurikulum akan dianggap retorik semata-mata sekiranya isu ketidaksamarataan akses teknologi dan fasiliti kondusif di luar bandar tidak ditangani secara tuntas sebelum dasar tersebut dilaksanakan.
Kesannya murid sekolah akan menjadi mangsa dasar dalam mencantikkan pelaporan positif KPM.
Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan berhenti bersembunyi di sebalik angka GPK yang"manis".
Pendidikan bukan tentang berapa banyak"A" yang dihasilkan melalui pelarasan gred, tetapi tentang kualiti insan dan kemahiran yang relevan dengan industri.
Selagi jurang luar bandar tidak dirapatkan secara fizikal dan digital, maka selagi itulah kurikulum tidak dipandu dengan keperluan sebenar pasaran tempatan, maka keputusan SPM hanyalah sebuah upacara tahunan sekolah.
* Masitah Ismail ialah Penyelidik di Yayasan Strategik Lestari