[VIDEO] 'Tiket' ubah nasib keluarga

Iklan

IPOH -"Ibu dan bapa saya bukanlah orang hebat, tetapi mereka berjaya mendidik saya menjadi seorang yang terhebat."

Itu luahan, Wan Aleya Batrisya Meor Ruslan, 18, apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM.

Iklan
Iklan

Wan Aleya hadir bersama ibu bapanya ketika mengambil slip keputusan di SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Anak kepada pasangan pekerja kilang, Meor Ruslan Ismail, 42, dan Suziana Harun, 44, memperoleh keputusan cemerlang bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Iklan

Wan Aleya berkata, kejayaan dalam pendidikan menjadi sandaran utamanya untuk mengubah kehidupan keluarga ke arah lebih baik pada masa depan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun itu berkata, kehidupan mereka sekeluarga yang menetap di rumah sewa sejak 19 tahun menguatkan lagi tekadnya untuk cemerlang dalam pelajaran dan mendapatkan pekerjaan lebih baik.

Iklan

Wan Aleya menunjukkan slip keputusan SPM miliknya.

"Saya tak sanggup lihat keluarga saya terus tinggal di rumah sewa. Saya nak ubah nasib keluarga supaya kami dapat hidup lebih senang.

"Impian saya satu hari nanti dapat belikan rumah baharu untuk mak ayah," katanya.

Menurut Wan Aleya, dorongan sebagai anak sulung turut memberi tekanan positif untuk berjaya dan menjadi contoh kepada dua adiknya lain.

"Ibu bapa saya yang tidak pernah mengeluh menyediakan keperluan persekolahan walaupun berdepan kekangan kewangan.

"Jadi saya nak buktikan kepada mereka yang saya boleh berjaya dan jadi contoh yang baik untuk adik-adik,” katanya yang berhasrat mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Seorang lagi pelajar cemerlang, Adib Adham Mohamad Izuddin, 18, bersyukur dengan keputusan 9A diperolehnya, sekali gus membanggakan keluarga terutama bapa yang bekerja sebagai peniaga pasar malam.

"Ini detik paling berharga. Saya dapat banggakan ibu bapa saya. Itu yang terbaik dan paling penting," katanya.

Adib Adham bangga dengan keputusan 9A yang diperolehnya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, kejayaan itu juga cukup bermakna selepas terpaksa melalui tempoh pembelajaran singkat.

“Kami tidak mempunyai masa yang panjang apabila sesi persekolahan bermula pada Februari dan peperiksaan percubaan pula pada Ogos, jadi semuanya sangat padat.

"Memang pagi, petang, siang dan malam perlu belajar bersungguh-sungguh dan terima kasih kepada guru yang banyak membantu,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di universiti tempatan.