IPOH – Sebanyak 700 kes kebakaran terbuka dilaporkan di Perak dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, daripada jumlah tersebut, kebakaran belukar dan lalang mencatatkan kes tertinggi dengan 300 kes sejak Januari lalu.
Menurutnya, ia diikuti kebakaran sampah sebanyak 157 kes, kebakaran hutan (53 kes) serta kebakaran kebun atau lalang (43 kes), yang menunjukkan trend peningkatan risiko kebakaran terbuka di negeri ini.
“Keadaan cuaca panas dan kering ketika ini telah meningkatkan risiko kebakaran terbuka di Perak, khususnya di beberapa daerah seperti Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar yang kini merekodkan cuaca panas tahap satu dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Walaupun kebanyakan kes melibatkan kawasan berskala kecil seperti setengah hingga satu ekar, kita bimbang apabila suhu terus meningkat, kebakaran boleh merebak dengan lebih cepat dan menjadi lebih sukar dikawal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit Program Madani Rakyat anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di AEON Mall Kinta City di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.
Sandrea menegaskan bahawa pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti tersebut terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering.
Tambahnya, pihak berkuasa akan terus meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa selain mempergiat kempen kesedaran bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap bahaya kebakaran.
"Orang awam juga digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar atau kerajaan tempatan supaya tindakan dapat diambil termasuk kompaun," katanya.
Dalam pada itu, program kesedaran yang dianjurkan JBPM Perak merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesiapsiagaan orang ramai melalui pendidikan, demonstrasi keselamatan dan penglibatan komuniti.
Program tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif sempena Program Madani Rakyat yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 April ini di Bulatan Sultan Azlan Shah melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dengan pelbagai pengisian untuk manfaat rakyat.