KUANTAN - “Kadangkala kudrat wanita saya teruji apabila perlu mendaki dua kali sehari jika ada pendaki terkandas dan sebagainya.”
Demikian luah Kapten Pertahanan Awam (PA) Nurul Ashikin Mohd Anuar, 38, satu-satunya malim gunung wanita di Taman Eko Rimba Gunung Senyum, Temerloh.
Bagi wanita kental ini, keletihan, jatuh tergolek terpijak batu rapuh dan lantai bukit licin selepas hujan, luka terkena batu tajam dan duri tumbuhan serta bengkak lebam anggota badan menjadi asam garam kerjanya yang dikategorikan agak bahaya itu.
“Tempoh pendakian dan turun di sini biasanya mengambil masa kira-kira empat jam sekiranya semua lancar termasuk peserta dalam keadaan cergas, cuaca baik dan laluan trek kering,” katanya.
Menurut Nurul Ashikin, sepanjang terlibat dengan tugas malim gunung sebagai kerjaya sambilan, dia pernah menempuh perjalanan turun naik gunung itu selama 12 jam dalam cuaca buruk.
Selain itu, adakala dia terpaksa bermalam terutama ketika pendakian khas membawa penyelidik melakukan kajian.
Nurul Ashikin sendiri mengakui walaupun tugas itu memenatkan dan agak bahaya, dia puas setelah berjaya membawa peserta mendaki bagi meneroka dan menikmati panorama indah matahari terbit di taman eko rimba itu dengan selamat.
Katanya, keputusan untuk mencabar diri terjun ke dunia kerjaya kategori kotor, bahaya dan sukar (3D) itu mengambil kira banyak faktor termasuk keupayaan fizikal dan mental, masa, tuntutan minat, keluarga serta kepuasan peribadi terhadap aktiviti mendaki yang diminati sejak remaja.
Anak kelahiran Felda Jengka 23 itu berkata, selain sebagai sumber pendapatan tambahan, kerjaya sampingan sebagai Malim Gunung Perhutanan Negeri Pahang itu turut menjadi nilai tambah kepada tugas hakikinya sebagai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bera.
Selain di Taman Eko Rimba Gunung Senyum, Nurul Ashikin yang dilantik secara rasmi Malim Gunung Perhutanan Negeri Pahang sejak April tahun lalu turut menjadi guide kepada pendaki di Gunung Berantai, Maran dan Taman Eko Rimba Bukit Bertangga, Bera sekiranya khidmat diperlukan.
“Memandangkan saya ada tanggungjawab pada tugas hakiki, khidmat sebagai malim gunung ini dilakukan pada hari cuti termasuk cuti hujung minggu.
“Tanggungjawab dan cabaran malim gunung ini besar lebih-lebih bagi wanita seperti saya kerana tugas ini melibatkan keselamatan kumpulan pendaki yang dibawa. Biasanya satu malim gunung bagi tujuh pendaki,” kongsinya.
Sentiasa jalani latihan
Menurut Nurul Ashikin, antara cabaran selain aspek kesukaran dan bahaya di lapangan ialah melayan kerenah pendaki yang tidak membuat persiapan rapi dan tidak fokus.
Walaupun berpengalaman sebagai pendaki di negeri ini, dia sentiasa mendapat latihan dan bimbingan daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Pejabat Hutan Daerah Temerloh.
“Bantuan dan kerjasama pasukan malim gunung di Gunung Senyum ini yang semuanya lelaki banyak membantu memudah serta meringankan kerja setiap kali membawa peserta melakukan pendakian,” ujarnya.
Katanya, kerja itu akan diteruskan selagi terdaya.
“Kalau tidak jadi malim gunung, saya tetap akan mendaki untuk kepuasan sendiri kerana aktiviti ini sudah sebati dalam diri,” katanya yang mendapat sokongan suami, juga seorang malim gunung.