AS-Israel serang kawasan perumahan barat Iran, 5 maut, 35 cedera

Iklan
Beberapa unit kediaman terkena serangan, menyebabkan kemusnahan sebahagian kawasan perumahan dan memerangkap sejumlah penduduk di bawah runtuhan.

ISTANBUL - Serangan Amerika Syarikat dan Israel yang menyasarkan kawasan perumahan di Bandar Borujerd di Wilayah Lorestan, barat Iran, meragut nyawa sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 35 yang lain, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, pada Sabtu.

Timbalan Gabenor (Keselamatan) Lorestan berkata, beberapa unit kediaman terkena serangan, menyebabkan kemusnahan sebahagian kawasan perumahan dan memerangkap sejumlah penduduk di bawah runtuhan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, mayat lima warga yang maut dalam serangan dikenal pasti dan disahkan, manakala 35 lagi cedera,” kata pegawai itu, sambil menjelaskan usaha sedang dijalankan untuk segera memindahkan mangsa yang cedera ke hospital.

Beliau berkata, jumlah kematian mungkin meningkat dalam beberapa jam akan datang ketika operasi pembersihan runtuhan diteruskan dan pasukan penyelamat mendapat akses ke bahagian bangunan yang terhalang.

Iklan

Amerika Syarikat dan Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, menyebabkan lebih 1,340 orang terbunuh setakat ini, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan. - Bernama

Iklan