Iran lancar ‘perang meme’ terhadap Trump, Netanyahu

Iklan
Trump dan Netanyahu digambar sebagai pihak yang lemah sementara pemimpin Iran (tengah) digambarkan sebagai hero. Foto: Agensi

TEHERAN - Di sebalik serangan peluru berpandu dan dron, Iran kini dilihat melancarkan satu lagi bentuk peperangan baharu – 'perang persepsi' melalui meme, video animasi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyasarkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Dalam konflik yang berlarutan hampir sebulan di Asia Barat, Teheran bukan sahaja bertindak secara ketenteraan, malah memperhebat propaganda digital dengan menyebarkan video satira dan kandungan ejekan di media sosial serta saluran rasmi yang prokerajaan.

Iklan
Iklan

Antara kandungan yang tular termasuk video animasi yang memaparkan Trump dalam bentuk Lego dan watak kanak-kanak ala Teletubbies, selain klip yang menggambarkan Iran sebagai 'Lord of the Strait' susulan keupayaannya mengganggu laluan strategik Selat Hormuz.

Dalam satu video lain, watak mirip pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, digambarkan bangkit semula selepas serangan sebelum digantikan oleh anaknya, Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin baharu – mesej simbolik tentang kesinambungan kuasa.

Iklan

Kandungan ini disebarkan secara meluas oleh media Iran, akaun proksi dan rangkaian sokongan luar negara bagi membentuk naratif bahawa Iran kekal kuat dan tidak tunduk.

Pakar melihat strategi ini sebagai bentuk peperangan asimetri, iaitu Iran menggunakan kelebihan dalam komunikasi digital untuk mengimbangi kekurangan dari segi kekuatan ketenteraan berbanding Amerika Syarikat dan Israel.

Iklan

Netanyahu dan Trump dijadikan bahan propaganda Iran. Foto: Agensi

Serangan fizikal menggunakan peluru berpandu dan dron memberikan asas kepada propaganda, sekali gus menjadikan naratif yang dibina kelihatan lebih meyakinkan.

Selain itu, mesej propaganda turut diselitkan pada peluru berpandu, termasuk petikan antiperang yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez sebagai sindiran terhadap pihak lawan.

Analisis mendapati kandungan yang dihasilkan mempunyai tema yang konsisten, iaitu Trump digambarkan sebagai lemah atau terdesak, manakala Netanyahu dipersembahkan dalam keadaan tertekan.

Matlamat utama adalah untuk membentuk persepsi global bahawa perang ini mahal, berisiko dan tidak menguntungkan pihak lawan, sekali gus mempengaruhi sokongan awam terhadap konflik tersebut.

Menurut kajian oleh penyelidik di Universiti Clemson, rangkaian pengaruh Iran kini beroperasi sebagai mesin propaganda berfokus tunggal yang memanfaatkan AI pada skala besar.

Penganalisis berpendapat bahawa walaupun Iran mungkin tidak mampu menandingi kuasa ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel, negara itu berjaya menguasai medan persepsi – sekurang-kurangnya buat masa ini. - Agensi