100 Hari Kepimpinan Naib Canselor UUM: Memacu 12 tujahan strategik universiti

Iklan
Ahmad Martadha ketika memulakan tugas sebagai Naib Canselor UUM pada Disember tahun lalu.

HARI INI, 26 Mac, genap 100 hari kepimpinan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, sejak pelantikan beliau ke jawatan itu pada 16 Disember 2025.

Mulai dari tarikh tersebut, pelbagai inisiatif strategik telah dilaksanakan oleh beliau bagi memperkukuhkan kedudukan UUM sebagai institusi pengurusan terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.

Iklan
Iklan

Dalam tempoh awal kepimpinan beliau, fokus utama diberikan kepada pelaksanaan 12 tujahan strategik UUM 2026 yang digariskan sebagai panduan kepada hala tuju universiti.

Antara tujahan utama yang diketengahkan ialah melonjakkan agenda pengantarabangsaan universiti, memacu kesarjanaan dan keterlihatan ilmuan UUM di peringkat nasional serta antarabangsa dan meningkatkan kebajikan serta kesejahteraan warga kampus. Selain itu, universiti turut memberi penekanan kepada pengukuhan nilai adab dan integriti dalam budaya kerja, peningkatan kebolehpasaran graduan serta pemerkasaan mahasiswa.

Iklan

Di bawah beliau, UUM juga berusaha memantapkan jaringan kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti, membina aliran kerja organisasi yang lebih tangkas dan adaptif serta memperluas jaringan alumni universiti di dalam dan luar negara.

Di samping itu, UUM turut memberi perhatian kepada pendemokrasian kecerdasan buatan secara inklusif dalam ekosistem universiti, penyediaan ekosistem kampus yang lestari dan mampan serta penambahbaikan komponen penilaian prestasi dan kenaikan pangkat bagi meningkatkan jumlah penerbitan artikel dalam jurnal berimpak tinggi.

Iklan

Bagi memastikan pelaksanaan tujahan tersebut berjalan secara sistematik dan berkesan, pihak universiti telah menubuhkan lapan makmal khas atau 'lab' strategik yang dipengerusikan oleh barisan kepimpinan utama universiti. Makmal ini berfungsi meneliti cabaran semasa serta merangka strategi penyelesaian yang lebih berfokus dan berimpak tinggi.

Lapan makmal tersebut memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama termasuk peningkatan pelajar pascasiswazah dan pelajar antarabangsa, peningkatan penerbitan artikel SCOPUS dan Web of Science (WoS), penjanaan kewangan dan endowment universiti, reformasi karenah birokrasi, kebajikan staf, pelaksanaan pelan pembangunan universiti, peningkatan gaji premium graduan serta pendigitalan kampus.

Setiap kumpulan yang mengetuai makmal berkenaan diberikan tempoh enam minggu untuk mengemukakan cadangan penyelesaian yang praktikal dan mampu memberikan impak kepada pembangunan universiti.

Dalam masa yang sama, beberapa pendekatan baharu turut diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan universiti serta memperkukuh amalan tadbir urus yang baik. Antaranya termasuk usaha meningkatkan elemen tatakelola baik dalam pentadbiran universiti melalui penambahbaikan proses perolehan dan tender bagi memastikan ketelusan, kecekapan serta nilai terbaik kepada organisasi.

Selain itu, Ahmad Martadha turut mengambil pendekatan simbolik dalam memupuk integriti dengan memutuskan mengenai ketiadaan pemberian hadiah kepada beliau dalam majlis dalaman universiti. Langkah ini mencerminkan komitmen kepimpinan universiti terhadap prinsip integriti serta pengurusan sumber secara berhemah.

Tempoh mesyuarat rasmi universiti juga dihadkan kepada antara dua hingga dua setengah jam sahaja bagi memastikan perbincangan adalah lebih berfokus dan produktif.

Selain itu, satu hari Selasa dalam setiap bulan diperuntukkan sebagai hari riadah warga universiti dari jam 8 pagi hingga 2 petang bagi menggalakkan keseimbangan antara kerja dan kesejahteraan fizikal warga kampus.

Dalam aspek akademik, perubahan terhadap indikator prestasi utama (KPI) pensyarah turut dilaksanakan dengan mengambil kira kekuatan dan kepakaran masing-masing. Pendekatan ini membolehkan pensyarah tempatan dan antarabangsa memanfaatkan kelebihan mereka dalam bidang pengajaran, penyelidikan atau penerbitan ilmiah.

Syarat pengambilan pensyarah baharu juga diperkemas dengan memberi penekanan kepada pencapaian akademik seperti Scopus H-Index serta rekod penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi bagi memastikan UUM terus memiliki tenaga akademik yang berkualiti tinggi.

Dalam usaha memperkukuh jaringan pengantarabangsaan universiti, Ahmad Martadha turut mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa. Antaranya termasuk pertemuan dengan Atase Pendidikan Arab Saudi, Duta Bangladesh, Duta Uganda serta Duta Malaysia ke China.

Selain itu, perbincangan turut diadakan dengan wakil universiti dan institusi dari China, Uzbekistan, Indonesia dan Thailand bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan serta mobiliti pelajar.

Di peringkat domestik pula, UUM turut memperkukuh hubungan dengan pelbagai agensi kerajaan dan organisasi strategik termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kerjasama ini bertujuan mempromosikan program pengajian ijazah pertama dan pengajian lanjutan di UUM di samping menawarkan pelbagai bentuk latihan profesional kepada pegawai dan kakitangan agensi-agensi terbabit.

Di samping memacu kecemerlangan akademik dan pengantarabangsaan universiti, aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut diberikan perhatian. Antara program yang dilaksanakan termasuk bantuan makanan retort kepada pelajar daripada golongan B40, program bantuan kepada gelandangan dan golongan miskin bandar serta pelbagai sumbangan kebajikan hasil kerjasama dengan agensi luar.

Antara organisasi yang turut menyumbang kepada inisiatif kebajikan ini termasuk Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan sumbangan sebanyak RM20,000 serta sokongan daripada pihak Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PAYNET) dan beberapa agensi lain.

Secara keseluruhannya, tempoh 100 hari pertama kepimpinan Prof. Dr. Ahmad Martadha memperlihatkan satu pendekatan yang jelas dalam memperkukuh kedudukan UUM sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka.

Dengan pelaksanaan 12 tujahan strategik, penubuhan makmal khas, pengukuhan jaringan kolaborasi antarabangsa, amalan tadbir urus yang lebih telus serta pelaksanaan program kebajikan masyarakat, kepimpinan beliau dilihat memberi asas yang kukuh kepada usaha berterusan untuk memacu transformasi UUM pada masa hadapan.

*Kori Ariff ialah Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM