ISTANBUL - Lubnan menarik balik pentauliahan Duta Iran pada Selasa dan mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Lubnan memaklumkan Duta Iran, Mohammad Reza Shibani diberi tempoh sehingga 29 Mac ini untuk meninggalkan negara itu.
Kementerian itu juga telah memanggil pulang Duta Lubnan ke Iran, Ahmad Sweidan, untuk sesi perundingan.
Langkah berkenaan diambil susulan"pelanggaran norma dan protokol diplomatik yang telah ditetapkan oleh Teheran" antara kedua-dua negara, menurut kementerian itu.
Israel telah membedil Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hizbullah yang disokong Iran pada 2 Mac lepas.
Pihak berkuasa Lubnan menyatakan sekurang-kurangnya 1,039 orang telah terkorban manakala 2,876 lagi cedera dalam serangan Israel setakat ini. - Bernama-Anadolu