KETIKA komuniti antarabangsa memberi tumpuan terhadap Perang Iran, Israel secara diam-diam mengetatkan lagi cengkaman mereka ke atas Genting Gaza dengan terus menyekat aliran bantuan ke wilayah itu.
Ketibaan 1 Syawal yang sepatutnya menjadi detik gembira kepada penduduk Palestin tidak membawa makna apa-apa kerana mereka masih bergelut dengan kekurangan bekalan penting yang semakin kritikal.
Krisis ekonomi yang berlaku bukan sekadar inflasi biasa atau kekurangan barangan sementara, tetapi merupakan hasil daripada interaksi kompleks antara pendudukan Israel, dinamika pasaran tempatan dan strategi serantau serta antarabangsa yang lebih luas.
Israel berulang kali mengambil kesempatan daripada ketegangan luar seperti yang melibatkan Iran atau Lubnan untuk menyekat penghantaran barangan melalui lintasan sempadan di samping meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Gaza.
Keadaan ini menyebabkan penduduk Palestin terdedah secara langsung kepada kenaikan harga yang mendadak dan kekurangan barangan keperluan asas.
Segelintir peniaga juga didakwa mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berganda melalui kenaikan harga tidak munasabah.
Sebagai contoh, harga tomato yang sebelum ini hanya 3 shekel (RM4) kini mencecah 20 shekel (RM25). Makanan dalam tin juga mengalami kenaikan pada kadar yang sama.
Harga gas memasak 8 kilogram pula mencecah 80 shekel (RM101) yang mana sebuah keluarga memerlukan kira-kira 640 shekel (RM810) sebulan hanya untuk keperluan tersebut.
Harga elektrik turut meningkat daripada 18 shekel (RM25) kepada 25 shekel (RM32) seunit. Kos sara hidup juga meningkat bagi keluarga yang bergantung kepada alternatif seperti dapur minyak tanah (babur).
Kenaikan harga tidak terhenti di situ. Daging menjadi terlalu mahal, ubat-ubatan asas semakin sukar diperoleh pada harga berpatutan malah tradisi Aidilfitri yang paling sederhana sekali pun kini di luar kemampuan ramai.
Manipulasi harga ini mencerminkan bagaimana segelintir peniaga mengeksploitasi ketidaktentuan ekonomi dan tekanan psikologi yang dihadapi penduduk.
Zionis menggunakan konflik luar sebagai helah keji untuk melancarkan perang berterusan, pelanggaran berulang terhadap perjanjian gencatan senjata.
Ancaman keselamatan berterusan digunakan berulang kali sebagai alasan menutup sempadan dan 'alat kawalan' ke atas penduduk Palestin.
Dengan cara ini, Gaza semakin terjebak dalam ketegangan serantau dan permainan kuasa ketenteraan.
Keadaan sedemikian menyebabkan Aidilfitri di Gaza menjadi lambang kesukaran kerana banyak keluarga terpaksa memilih antara keperluan asas dan tradisi perayaan.
Daging, sayur-sayuran dan gas memasak menjadi barang mewah hingga menyebabkan ramai penduduk Palestin bergelut untuk mendapatkan keperluan harian yang lebih penting.
Walaupun bekalan wujud, monopoli barangan dan kenaikan harga yang tidak wajar menjadikan pasaran tempatan rapuh.
Krisis Gaza bukan sekadar isu ekonomi semata-mata, ia mencerminkan persilangan kompleks antara kempen pencerobohan, sekatan ketat, eksploitasi perdagangan dan dasar antarabangsa yang telah meletakkan wilayah itu dalam keadaan terpinggir.
Aidilfitri yang dulu menebar kegembiraan bagi penduduk Palestin kini tinggal sebagai memori pahit tentang sambutan yang telah lenyap.