KUALA TERENGGANU – Siapa sangka, timbunan sampah laut yang dianggap mencacatkan pemandangan kini bertukar wajah menjadi sebuah taman mini yang unik hasil kreativiti sekumpulan pesara dan penduduk setempat di sini.
Cetusan idea itu dimulakan oleh pesara guru, Zakaria Taib, 63, atau lebih dikenali sebagai Papa Ya, bersama rakannya iaitu pasangan suami isteri, Mohamad Umbaidah Tengah, 63, dan Zaleha Abu Bakar, 63.
Menurut Zakaria, idea mewujudkan taman itu tercetus secara spontan selepas melihat lambakan barangan terbuang yang dikutip mereka di sepanjang pantai sekitar Kuala Terengganu seperti Cendering, Kuala Ibai dan Batu Buruk dibuang begitu sahaja.
“Pada awalnya kami hanya mengutip dan membuang sampah, namun lama-kelamaan timbul rasa sayang untuk membuangnya begitu sahaja. Dari situ, kami mula mengumpul barangan ini sedikit demi sedikit selama enam bulan dengan berat kira-kira empat tan.
“Kami mengambil inspirasi daripada konsep rumah botol, tetapi di sini kami tampilkan kelainan dengan menggunakan selipar terbuang. Setakat ini, lebih 500 hingga 700 pasang selipar telah dikumpulkan di bawah projek Geng Plastik Ija (GPI),” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, kawasan yang dinamakan Taman GPI itu mula dibina secara berperingkat sejak Oktober 2025 dengan hiasan meja dan kerusi yang dihasilkan sepenuhnya daripada kayu hanyut dan barangan terbuang.
Tambahnya, kawasan itu turut diserikan dengan kira-kira 200 batang pokok kelapa pelbagai jenis yang ditanam secara berkumpulan bagi mengekalkan landskap semula jadi pantai Terengganu.
“Ada anak pokok yang disumbangkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), orang perseorangan dan ada juga yang kami kutip daripada sisa hanyut. Walaupun sekarang musim tengkujuh, saya yakin 95 peratus pokok ini akan hidup.
“Hasrat kami, dalam tempoh empat tahun lagi pokok-pokok ini akan berbuah dan menjadi rezeki buat semua,” ujarnya.
Tambahnya lagi, lokasi tersebut kini turut dilengkapi lampu solar bagi membolehkan orang ramai beriadah atau berbuka puasa bersama keluarga sempena bulan Ramadan.
“Ramai yang datang ke sini untuk ambil peluang rakam gambar bersama keluar dan kawan-kawan. Macam buat OOTD (Outfit of the Day). Lebih menarik, ada juga pasangan pengantin yang datang untuk rakam gambar perkahwinan di sini," ujarnya yang berpengalaman sebagai guru pengakap.
Cabaran urus sampah pantai
Zakaria turut berkongsi cabaran menguruskan sampah pantai mengikut musim, di mana botol-botol plastik dari luar negara sering terdampar di pesisir pantai tersebut, terutama ketika musim tengkujuh.
“Botol-botol ini kebanyakannya dari luar negara seperti Vietnam, malah ada yang datang dari sejauh Guatemala dan Medellin, Peru. Kami ambil kesemuanya untuk dimanfaatkan supaya tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Rabiah Mustafa, 43, dari Kuala Berang, Hulu Terengganu berkata, dia dan keluarga pertama kali berkunjung ke situ.
“Sebenarnya kami datang ke Kuala Terengganu untuk mencari persiapan Hari Raya Aidilfitri, tidak sangka pula boleh menemui taman mini yang unik seperti ini.
“Memang idea dan konsep yang diketengahkan ini mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang dan merakam gambar sebagai kenangan.
“Suasana di sini pun menarik, terletak bersebelahan sahaja dengan Pantai Batu Buruk,” katanya.