Nyawa yang tidak sama nilainya

Iklan
Israel memperluas serangan ketenteraannya ke atas Lubnan selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lepas. - Foto: Agensi

APA sebenarnya yang sedang berlaku pada dunia hari ini?

Kita menyaksikan konflik demi konflik termasuklah di Asia Barat, di pinggir Eropah, di laluan strategik yang menjadi nadi perdagangan global. Lalu, bagaimana dunia bertindak balas terhadapnya? Ada peperangan yang segera dihukum sebagai pencabulan kemanusiaan. Ada pula yang dibiarkan berlarutan, seolah- olah berada di luar radar moral antarabangsa. Melalui perbezaan ini, adakah semua nyawa benar-benar mempunyai nilai sama dalam dunia hari ini?

Iklan
Iklan

Dalam ucapan di Forum Ilmuwan Malaysia Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan dunia sedang berhadapan keruntuhan moral sistem antarabangsa. Jika diperhatikan dengan lebih dekat, kenyataan ini sebenarnya menyentuh sesuatu lebih asas, bukan sekadar kegagalan politik tetapi kegagalan mengekalkan satu prinsip yang selama ini dianggap universal, iaitu keadilan.

Undang-undang antarabangsa, yang sepatutnya menjadi benteng terakhir terhadap kezaliman, kelihatan mengambil sikap terpilih. Ia tegas di sesetengah konflik, tetapi longgar di konflik lain. Dalam keadaan ini, undang-undang tidak lagi berperanan sebagai pelindung, sebaliknya kelihatan seperti alat.

Iklan

Sejarah pernah melalui fasa hampir serupa. Sebelum meletusnya Perang Dunia, dunia juga dipenuhi bahasa diplomasi, perjanjian keselamatan dan keyakinan rasionaliti manusia mampu mengawal konflik. Namun di sebalik struktur itu, wujud perebutan kuasa tidak seimbang dan keengganan melihat kezaliman sebagai kezaliman selagi tidak menjejaskan kepentingan sendiri.

Apa yang berlaku hari ini tidak sepenuhnya berbeza. Ia mungkin lebih kompleks, berlapis dan pantas bergerak tetapi logiknya masih sama. Kuasa menentukan reaksi, bukan prinsip.

Iklan

Kesan susunan ini meresap ke dalam kehidupan seharian manusia. Gangguan terhadap laluan maritim dan pasaran tenaga global mencetuskan ketidakstabilan harga, menekan ekonomi negara membangun dan akhirnya menghimpit rakyat yang tidak pernah terlibat dalam percaturan geopolitik tersebut. Dalam masa yang sama, generasi seterusnya di kawasan konflik membesar bersama trauma, kehilangan, dan ketidakpercayaan terhadap idea keadilan itu sendiri.

Dalam keadaan ini, persoalan tentang keamanan tidak lagi boleh difahami sebagai isu keselamatan semata-mata. Ia berkait rapat dengan bagaimana dunia mentakrif nilai manusia.

Di sinilah gagasan Karamah Insaniah menjadi relevan sebagai satu kerangka untuk menilai semula susunan global yang sedia ada. Jika maruah manusia benar-benar bersifat universal, maka ia tidak boleh bergantung kepada geografi, identiti atau kedudukan strategik. Ia tidak boleh berubah-ubah mengikut siapa yang terlibat atau siapa yang memerhati. Namun di sinilah cabaran terbesar muncul.

Dalam praktiknya, dunia tidak beroperasi atas asas moral sama rata. Ia beroperasi dalam struktur kuasa, kepentingan dan persepsi. Keadilan sering kali bukan ditentukan apa yang benar, tetapi oleh siapa mempunyai keupayaan mentakrifkannya.

Dalam konteks ini, pendirian Malaysia yang menekankan diplomasi, keterlibatan pelbagai hala dan kepatuhan undang-undang antarabangsa boleh dilihat sebagai satu usaha mengekalkan ruang rasional dalam dunia semakin cenderung kepada konfrontasi. Namun pendirian ini mengundang persoalan sejauh mana prinsip boleh bertahan dalam sistem tidak sepenuhnya berasaskan prinsip?

Jawapan kepada persoalan ini mungkin tidak terletak pada politik semata-mata. Ia juga berkait dengan dimensi dalaman manusia itu sendiri.

Jika dunia benar-benar mempercayai setiap nyawa mempunyai nilai sama, mengapa tindak balas terhadap kehilangan nyawa tidak pernah sama?

Mungkin masalahnya bukan pada ketiadaan prinsip. Mungkin prinsip itu sendiri tidak pernah benar-benar universal dalam praktik.

Dan selagi jurang antara apa yang diisytiharkan dan apa dilakukan ini wujud, dunia akan terus berhadapan dengan konflik yang bukan sahaja bersifat fizikal, tetapi juga moral.

Kerana pada akhirnya, persoalan tentang masa depan dunia bukan sekadar tentang siapa yang memiliki kuasa tetapi tentang siapa yang berhak menentukan nilai sebuah nyawa.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya