Lakonan jadi nyata, Syafiq Dharma terkenang arwah bapa

Iklan
Filem pendek sempena Aidilfitri, Jam Misteri Atuk.

PELAKON Syafiq Dharma mengakui lakonannya dalam filem pendek sempena Aidilfitri, Jam Misteri Atuk memberi kesan emosi yang mendalam apabila jalan ceritanya sangat dekat dengan pengalaman hidup yang sedang dilaluinya.

Beberapa babak dalam karya terbitan Avaris Studio itu membuatkan dia terkenang arwah bapanya, pelakon terkenal era 1980-an, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid yang meninggal dunia pada 25 November tahun lalu.

Iklan
Iklan

“Cerita ini tentang seorang anak yang kehilangan bapanya. Saya bersetuju untuk terlibat kerana skripnya sangat dekat dengan diri saya yang baru kehilangan bapa dan masih dalam proses untuk ‘move on’.

“Seperti dalam filem ini, selepas arwah tiada barulah kita teringat kenangan bersama dan rasa rindu. Sedangkan ketika dia masih ada, kita sibuk dengan kerja dan kehidupan.

Iklan

“Sekarang, apabila saya melihat kerusi yang arwah selalu duduk, saya akan rasa sayu,” katanya.

Tambahnya, pengalaman kehilangan itu menjadikan emosi yang diluahkan terasa lebih nyata kerana ia bukan sekadar lakonan, sebaliknya lahir daripada pengalaman sebenar.

Iklan

Syafiq atau nama sebenarnya Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 37, berkata, Jam Misteri Atuk juga menjadi titik penting dalam perjalanan seninya selepas pemergian arwah bapanya.

“Ini adalah lakonan pertama saya selepas pemergian arwah bapa. Jika boleh, saya mahu terus menghidupkan nama Dharma dalam bidang seni seperti yang arwah harapkan,” ujarnya.

Syafiq kini mengambil peluang berlakon ketika cuti semester.

Dalam pada itu, dia yang kini sedang menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) turut berharap karya tersebut dapat membuka lebih banyak peluang dalam bidang lakonan.

Berkongsi pengalaman di lokasi penggambaran, Syafiq berkata, walaupun tempohnya singkat, suasana kerja yang profesional memberi semangat baharu buat dirinya.

“Saya rasa diri ini kecil jika dibandingkan dengan pelakon lain, tetapi mereka menerima saya dengan baik. Produksi juga sangat profesional dan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus bekerja dalam karya lain,” katanya.

Filem pendek arahan Ali Irman Bahrudden itu mengisahkan seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya sebelum menemui jam tangan lama yang membawanya kembali ke masa lalu.

Menurut Ali Irman, karya tersebut sarat dengan mesej tentang menghargai orang tersayang serta berdamai dengan takdir, selari dengan suasana Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Jam Misteri Atuk adalah karya yang menyentuh jiwa, terutama bagi mereka yang pernah kehilangan insan tersayang. Saya harap penonton dapat memberikan sokongan,” katanya.

Selain Syafiq, filem pendek itu turut dibintangi Azhar Amir, Aleza Shadan, Wafariena Roslan, Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.

Karya tersebut telah ditayangkan secara eksklusif pada 13 Mac 2026 di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall, Damansara sebelum disiarkan kepada umum menerusi saluran YouTube rasmi Avaris Studio MY dan Awesome TV.