SHAH ALAM – Penginapan kediaman pelancongan dan homestay atau inap desa berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima permintaan tinggi dan ' full booking' setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Homestay Perak, Noradidah Mokhtar berkata, setiap tahun trendnya hampir sama iaitu kebanyakan pelanggan akan membuat tempahan sebulan awal malah ada sebelum Ramadan lagi.
Menurutnya, permintaan tinggi homestay pada bulan Syawal disebabkan orang ramai teruja pulang berhari raya sehingga ada yang menempah untuk tempoh yang panjang.
"Kalau ikutkan homestay di Perak yang berdaftar iaitu kira- kira 160 melibatkan sepuluh daerah antaranya Gopeng, Sungkai, Selama, Seberang Perak dan Maju Manik telah ditempah.
"Jangan terkejut jika saya katakan kebanyakan tempahan dibuat oleh perantau, terutama yang berkeluarga besar dan bukannya oleh pelancong atau orang luar.
"Biasanya pelanggan gemar memilih rumah yang berdekatan dengan kediaman ibu bapa mereka bagi memudahkan untuk ulang alik pada hari raya.
"Sememangnya homestay kini menjadi satu keperluan dan pilihan bagi mereka yang merancang untuk pulang berhari raya. Ada yang tempah untuk tempoh singkat dan juga lama," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, ini kerana homestay menawarkan penginapan lebih murah, selesa, dan ada privasi berbanding bersesak di rumah keluarga atau saudara-mara selain menjaga batas aurat bagi yang beragama Islam.
Jelas beliau, dalam masa sama pemilik homestay juga berpeluang menambah pendapatan setiap kali menjelang Aidilfitri apabila menerima tempahan yang ramai.
"Harga adalah mengikut kadar normal, tiada caj tambahan. Bagi homestay di Perak (di bawah MOTAC), kaedah tempahan membolehkan tetamu masuk lebih awal, iaitu jam 12 tengah hari jika bilik telah tersedia, dan daftar keluar pada jam 2 petang.
"Tujuan ini adalah untuk membolehkan penyewa menunaikan solat Zohor dengan selesa sebelum memulakan aktiviti lain," katanya.