Ramadan mengislah insan, Syawal istiqamah menyebarkan nilai ihsan

Iklan
Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya turut mendidik diri agar saling berlumba-lumba untuk melakukan amal kebajikan. Gambar kecil: Sirajuddin

UNIVERSITI Ramadan telah mengasuh jiwa kita dengan nilai ihsan, merasai denyut nadi kesusahan golongan yang kurang berkemampuan.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya turut mendidik diri agar saling berlumba-lumba untuk melakukan amal kebajikan.

Iklan
Iklan

Al-Quran telah menyatakan dengan jelas tentang objektif puasa seperti yang dirakamkan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183:

Maksud ayat: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Iklan

Bulan Ramadan menyemai perasaan kasih sayang, tolong menolong dalam komuniti serta saling bantu membantu di antara satu sama lain.

Ibnu Abbas telah meriwayatkan hadis dengan berkata bahawa Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan... (hadis riwayat Al-Bukhari)

Iklan

Sepanjang bulan Ramadan, kita semua menghayati sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”- (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.”- (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Agensi-agensi hal ehwal agama turut mengambil inisiatif merealisasikan anjuran hadith ini dengan menganjurkan siri majlis berbuka puasa menyantuni lapisan masyarakat termasuk golongan asnaf dan mereka yang tidak berkemampuan.

Sepanjang bulan Ramadan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) antaranya dengan kerjasama rakan-rakan strategik Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) telah menyantuni para asnaf melalui program Temu Seru dan Semarak Kasih Ramadan.

Di samping itu, program Ziarah Ramadan Madani turut dilaksanakan bagi menyantuni pesakit serta kakitangan institusi kesihatan. Usaha ini diperluas melalui penglibatan kepimpinan tertinggi, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama Jakim dan rakan strategik turut turun padang menyantuni petugas barisan hadapan termasuk anggota polis, bomba dan petugas kesihatan menerusi siri Singgah Sahur.

Inisiatif ini dilengkapi dengan pelbagai program lain di seluruh negara bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada merasai keberkatan Ramadan.

Selari dengan usaha memperkasa institusi masjid, inisiatif Rakan Masjid yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri turut digerakkan secara aktif oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam membangunkan generasi Madani yang memakmurkan masjid serta berperanan sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

Inisiatif yang amat baik ini tidak akan terhenti dalam bulan Ramadan sahaja, sebaliknya akan terus diperkasa dan diperluaskan pelaksanaannya sepanjang tahun sebagai satu pendekatan berterusan dalam membina masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam.

Begitulah Ramadan bulan yang bukan sahaja mendidik kita menahan lapar dan dahaga, tetapi turut membentuk akhlak serta adab sopan dalam setiap interaksi bermasyarakat.

Perbuatan fitnah, adu domba, mencerca serta memaki hamun orang lain sentiasa perlu dielakkan serta dijauhi sesuai dengan sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.”(Riwayat al-Bukhari)

Bulan Syawal yang bakal menjelma adalah hadiah Maha Pencipta kepada seluruh umat Islam yang berjaya menjalani tarbiyah sebulan Ramadan. Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“.. dan supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), serta kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-Nya dari supaya kamu bersyukur” – Surah Al- Baqarah ayat 185

Bulan Syawal yang bakal menjelma perlu dibawa dengan semangat ihsan berkesinambungan pendidikan Ramadhan. Kedatangan bulan Syawal perlu menjadi jambatan untuk mengukuhkan hubungan kemasyarakatan tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan bangsa.

Firman ALLAH dalam Surah Al Hujurat ayat 13 bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”

Rahmat Syawal menyeru kita menyambung silaturahim bersama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan walau sambutannya serba sederhana supaya jalinan hubungan sesama manusia itu terus dieratkan. Firman ALLAH dalam Surah Ali Imran ayat 103 bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu ALLAH selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”

Aidilfitri mengajak umat Islam untuk memperteguh kesatuan. Perbalahan sesama sendiri yang berpanjangan hanya akan melemahkan umat Islam. Kepentingan umat perlu diletakkan di hadapan demi meleraikan kekusutan serta kekhilafan.

Nilai bermaaf-maafan perlu dihayati dengan makna jiwa yang besar. Semoga Ramadan yang bakal berlalu telah mengislah diri, Syawal yang indah dirai dengan penuh semangat ihsan.

*Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia