Jalin kerjasama demi frontliners Malaysia

Iklan
Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz (tengah) ketika menyampaikan bantuan Musa'adah Covid-19 di Universiti Kebangsaan Malaysia.

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) menjalin kerjasama bagi membantu petugas kesihatan dalam memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, sebagai badan dakwah di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YADIM turut terlibat dalam membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada fasa pertama kerjasama itu, YADIM akan menyediakan 1,000 pasang peralatan perlindungan peribadi (PPE) melibatkan kos RM50,000 untuk diagihkan kepada petugas kesihatan di klinik-klinik kesihatan yang memerlukan terutamanya di zon merah khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kita menggerakkan kerjasama dengan Tabung CovidSinar ini selepas melihat peranan yang dimainkan akhbar Sinar Harian cukup efektif dan menyeluruh dalam membantu petugas kesihatan.

Iklan

"Malah, Tabung CovidSinar juga dilihat antara yang terkedepan dalam menyalurkan bantuan kepada frontliners bersesuaian dengan salah satu segmen bantuan diusahakan oleh YADIM sendiri iaitu petugas hadapan.

"Bantuan yang disalurkan ini merupakan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang prihatin selain peruntukan kerajaan yang diselaraskan khusus untuk program Musa’adah Covid-19 YADIM,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan
Antara golongan kurang upaya yang menerima bantuan Musa’adah Covid-19 YADIM.

Mengulas lanjut, Tuan Kamarul Arief berkata, melalui program Musa’adah Covid-19 YADIM, pihaknya memberi penekanan kepada empat segmen penerima bantuan melibatkan frontliners, keluarga jemaah tabligh yang positif Covid-19, pelajar universiti dan golongan asnaf B40.

Katanya, selain daripada empat golongan itu, pihaknya juga memberi perhatian khusus terhadap pelajar-pelajar tahfiz yang berpusat di Masjid Sri Petaling.

"Keempat-empat segmen ini memerlukan pelaksanaan yang berbeza sama ada kita boleh laksanakan sendiri atau perlu mengadakan kerjasama dengan rakan strategik untuk memberi impak yang lebih menyeluruh.

"Kami juga amat bersyukur kerana Sinar Harian sudi untuk bersama-sama membantu YADIM dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terbabit melalui Tabung CovidSinar,” katanya.

Santuni keluarga tabligh

Menyentuh mengenai perkembangan program Musa’adah Covid-19 YADIM, Tuan Kamarul Arief berkata, sehingga kini sebanyak 29 keluarga tabligh berjaya disantuni dan menerima bantuan yang disalurkan.

Katanya, YADIM amat bersimpati dengan ujian yang diberikan kepada golongan itu apabila 40 peratus daripada kes wabak Covid-19 di Malaysia datangnya daripada kluster itu.

"Kebiasaannya dalam kalangan golongan tabligh ini hanya ketua keluarga mereka yang bekerja.

"Apabila pandemik ini berlaku, maka ia secara tidak langsung menjejaskan pendapatan keluarga masing-masing.

"Melalui maklumat yang diperoleh, kita berjaya menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas apabila ketua keluarga disahkan positif Covid-19,” katanya.

YADIM menyalurkan bantuan Musa'adah Covid-19 YADIM menerusi empat segment utama penerima bantuan.

Dalam pada itu, Tuan Kamarul Arief berkata, seramai 329 pelajar daripada 27 institut pengajian tinggi (universiti) di seluruh Malaysia telah mendapat manfaat daripada program Musa’adah Covid-19 YADIM.

Katanya, pelajar-pelajar terbabit bukan sahaja menerima bantuan wang tunai malah YADIM turut menyediakan bekalan barangan keperluan.

"Selain itu, kita turut mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf B40 melibatkan penghuni-penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Sehingga kini sebanyak 11 PPR telah kita agihkan bantuan berupa wang tunai dan juga barangan keperluan melibatkan 50 hingga 100 keluarga di satu-satu kawasan yang diselaraskan persatuan penduduk,” jelasnya.