MELAKA - Seorang wanita tidak dapat menahan sebak mengenangkan segala persiapan menyambut Aidilfitri yang berbaki beberapa hari lagi musnah selepas rumahnya dilanda ribut dalam kejadian di Gedong Lalang, Bukit Rambai di sini pada lewat petang Selasa.
Suri rumah, Ruzaimah Leman, 55, berkata, kejadian berlaku sekelip mata sekitar jam 6 petang menyebabkan dia yang ketika itu sedang membuat biskut raya menjadi terpinga-pinga.
Menurutnya, ketika kejadian, suaminya sedang bersiap untuk ke tempat kerja sebelum dia meminta supaya menangguhkan perjalanan kerana hujan dan bimbang mengalami semput.
“Masa itu saya sedang membuat kuih raya dan memasukkan biskut ke dalam balang. Pintu depan dan belakang pula terbuka menyebabkan cucu yang berada di ruang tamu turut teralih akibat ditiup angin.
“Saya yang nampak kejadian itu terus mengangkat cucu saya dan seorang lagi yang berada dalam buaian, kemudian memeluknya. Ketika itu, saya sudah tidak nampak apa-apa kerana semua barang berterbangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, kejadian itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus selain rumahnya dimasuki air selepas atap tercabut diterbangkan ribut.
“Ruang tamu dan bilik terjejas teruk, tikar getah terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan lagi.
“Sepanjang saya tinggal di sini, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku, malah pokok kelapa juga habis gugur, keadaan sangat menggerunkan,” katanya.
Menurutnya, walaupun sedih mengenangkan persiapan Aidilfitri yang hampir siap terjejas, dia tetap bersyukur kerana keluarganya selamat.
“Saya sedih kerana persiapan sudah hampir 90 peratus siap, langsir pun sudah dipasang, bilik sudah dikemas. Apabila jadi macam ini, memang rasa sangat terkesan.
“Anak-anak pula sudah memaklumkan akan pulang beraya. Mungkin ALLAH SWT ingin menguji kami pada bulan Ramadan ini. Suami ada bertanya sama ada saya okey atau tidak, saya hanya mampu reda kerana perkara sudah berlaku,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Asri Mahmood, 29, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba.
“Pada mulanya hujan biasa, kemudian tiba-tiba kedengaran bunyi kuat seperti puting beliung. Dalam beberapa saat sahaja, bumbung rumah terangkat.
“Saya terus keluar dari bilik untuk melihat keadaan ibu di bilik lain, Alhamdulillah dia selamat. Namun, air masuk ke ruang tamu serta bilik saya dan adik,” katanya.
Menurutnya, persiapan Aidilfitri mereka juga turut terjejas.
“Persiapan raya tidaklah banyak, cuma semalam ada mengemas sedikit dan tinggal beberapa perkara sahaja lagi untuk disiapkan.
“Memang sedih kerana sudah hampir raya, tetapi ini ujian yang perlu diterima, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa,” katanya.
Tambahnya, dia akan kekal tinggal di rumah tersebut, manakala ibu dan adiknya akan menumpang di rumah kakak yang berhampiran buat sementara waktu.
“Saya berharap ada bantuan segera, namun saya faham mungkin tidak dapat dibaiki dengan cepat kerana terdapat beberapa rumah lain yang turut terjejas.
“Jika bantuan lambat pun tidak mengapa, bergantung kepada rezeki,” katanya.