KUALA LUMPUR - Beberapa saksi penting yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan dikesan telah membuat pergerakan keluar negara sejak Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat ini seramai 14 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, melalui semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan terdapat saksi-saksi penting telah membuat pergerakan keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di antara Januari hingga Februari lalu.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan usaha untuk mengesan saksi-saksi tersebut bagi membantu siasatan.
"Pihak polis sedang menyiasat satu kes di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu dengan apa-apa cara secara langsung atau tidak langsung melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen seperti mana kenyataan Ketua Polis Negara pada 27 Februari lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, PDRM komited dalam menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan dakwaan komplot tersebut yang didakwa melibatkan seorang individu tempatan berpengaruh dengan sebuah agensi media antarabangsa.
Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan peguam kepada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid iaitu Nizamuddin Hamid direkod keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan dakwaan terbabit.
Sementara itu, Na'imah dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai tidak masuk akal, sambil menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh digulingkan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam dan menegaskan mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.