PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI]"Jangan buat spekulasi". Itu penegasan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan apabila ditanya mengenai kedudukan negara selepas bekalan bahan api mampu bertahan sehingga Mei depan.
Tegas beliau, spekulasi pasaran adalah berbahaya dan hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu.
"Yang penting kita fokus tentang apa yang ada dalam kawalan kita dan memastikan bekalan dalam negara mencukupi.
"Apa yang dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kita mempunyai cukup bekalan sehingga Mei," katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di sini pada Jumaat.
Jelas beliau, kerajaan juga tidak menutup pintu kepada usaha mendapatkan sumber bekalan baru bagi menggantikan stok yang digunakan dengan pelaksanaan oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan syarikat minyak tempatan yang lain.
"Kalau harga minyak berterusan, kita mungkin kena bergerak kepada pendekatan yang lainlah.
"Buat masa sekarang, pasal kita pun tak tahu berapa lama konflik ini berlangsung, jadi yang pentingnya kita bergerak dari pelan jangka pendek, sederhana dan panjang serta langkah-langkah sepatutnya,'' ujarnya.
Sebelum ini Anwar memaklumkan Malaysia mempunyai bekalan bahan bakar mampu menampung keperluan rakyat sehingga Mei ini susulan pergolakan di Asia Barat yang memaksa Iran menutup Selat Hormuz.
Selat Hormuz merupakan laluan utama kapal perdagangan yang mengangkut kira-kira 20 peratus perdagangan global minyak, produk petroleum dan gas asli cecair.
Sementara itu ditanya mengenai cuti panjang sempena sambutan Aidilfitri dan cuti persekolahan yang memungkinkan pergerakan tinggi daripada rakyat akan menjejaskan bekalan bahan bakar, Amir Hamzah menjelaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau tahap bekalan di stesen minyak seperti biasa.
"Apabila ada pergerakan daripada Kuala Lumpur ke Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor jadi syarikat minyak juga dah biasa dengan menambah lebih banyak bekalan di kawasan terlibat. Jadi tiada bekalan gangguan dan saya rasa ia suatu perkara yang biasa diuruskan setiap tahun. Insya-ALLAH tahun ini pun tiada beza," katanya.