Pencalonan Anugerah Seni Negara 2026 kini dibuka

Iklan
MOTAC mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk mencalonkan semua penggiat seni dalam bidang yang dinyatakan untuk dipertimbangkan sebagai Seniman Negara dan Karyawan Seni.

PUTRAJAYA – Pencalonan bagi Anugerah Seni Negara 2026 (ASN 2026) kini dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia mulai 12 Mac hingga 11 Mei depan bagi mencari tokoh seni yang telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan seni tanah air.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pencalonan itu meliputi lima bidang utama iaitu seni muzik, seni tari, seni lakon, seni kraf dan seni visual.

Iklan
Iklan

Menurut kementerian berkenaan, pencalonan bagi kategori Anugerah Seniman Negara dan Anugerah Karyawan Seni dibuka kepada orang ramai termasuk individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi.

“MOTAC mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk mencalonkan semua penggiat seni dalam bidang yang dinyatakan untuk dipertimbangkan sebagai Seniman Negara dan Karyawan Seni.

Iklan

“Borang pencalonan dan keterangan lanjut boleh dicapai melalui www.motac.gov.my. Semua borang pencalonan yang lengkap berserta dokumen sokongan boleh dikemukakan melalui e-mel atau serahan tangan kepada Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC di Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, kementerian berkenaan menjelaskan pencalonan bagi Anugerah Pendukung Seni pula hanya dibuka kepada jabatan serta agensi di bawah MOTAC.

Iklan

Bagi penganugerahan tahun ini, hanya seorang tokoh akan dipilih sebagai penerima Anugerah Seniman Negara, manakala lima lagi akan menerima Anugerah Karyawan Seni yang mewakili setiap bidang seni.

Selain itu, tiga penerima turut dipilih bagi kategori Anugerah Pendukung Seni melibatkan kategori media, korporat dan badan bukan kerajaan.

Menurut MOTAC, individu yang dicalonkan perlu merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam bidang seni masing-masing sekurang-kurangnya 25 tahun serta masih aktif berkarya.

“Calon juga perlu menunjukkan bakat yang tinggi secara berterusan dan konsisten serta melahirkan karya-karya hebat yang memberikan impak kepada industri seni,” katanya.

Kementerian itu menambah, tokoh yang dicalonkan juga perlu memainkan peranan dalam membimbing serta membentuk bakat baharu di samping menunjukkan kepimpinan dalam bidang seni di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

Selain itu, calon perlu mencapai tahap kecemerlangan dan menunjukkan kewibawaan dalam bidang seni masing-masing.

Bagi kategori Seniman Negara, penerima bakal menerima wang tunai sebanyak RM60,000 berserta watikah penganugerahan dan trofi ASN.

Penerima turut diberikan beberapa keistimewaan lain termasuk sepasang pakaian kebangsaan, peluang sebagai Seniman Tamu MOTAC serta insentif bagi penghasilan karya baharu.

Selain itu, penerima juga akan menikmati kemudahan rawatan di hospital kerajaan serta penerbitan khas berkaitan tokoh Seniman Negara.

Bagi Anugerah Karyawan Seni pula, setiap penerima akan menerima wang tunai RM30,000 selain watikah dan trofi ASN, manakala penerima Anugerah Pendukung Seni akan menerima wang tunai RM10,000 berserta watikah dan trofi penganugerahan.