LABEL itu mungkin 'sakit' untuk didengar, namun hakikatnya ia terus berlegar dalam ruang perbualan awam setiap kali timbul isu kebersihan di negeri ini.
Persoalannya, sampai bila label ini mahu terus melekat sehingga melihat rakyat Kelantan sebagai pengotor sedangkan ia hanya melibatkan segelintir kumpulan 'nakal'.
Isu kebersihan sebenarnya bukan perkara baharu di negeri ini. Beberapa tahun lalu, kawasan pantai di Kelantan pernah menjadi perhatian apabila dipenuhi sampah sarap sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung.
Pemandangan sepatutnya indah bertukar menjadi 'cacat' dengan longgokan plastik, botol minuman dan sisa makanan. Insiden tersebut bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah memberi kesan kepada imej negeri di mata orang luar.
Malangnya, fenomena itu terus berulang tanpa menemui noktah penghujung dan situasi sama masih boleh dilihat sehingga hari ini dalam konteks yang berbeza.
Lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di bulan Ramadan di mana ramai memilih berbuka puasa di kawasan awam seperti tepi sungai, taman rekreasi atau kawasan lapang bagi menikmati suasana santai bersama keluarga dan rakan. Tradisi ini sebenarnya sesuatu yang positif kerana ia menghidupkan suasana kemasyarakatan.
Namun selepas waktu berbuka, tidak sedikit kawasan tersebut ditinggalkan dengan sampah bertaburan. Bekas makanan, plastik air dan sisa makanan dibiarkan begitu sahaja tanpa rasa tanggungjawab untuk membersihkannya.
Kerajaan negeri sendiri tidak memandang ringan perkara ini. Malah tindakan tegas sudah mula diambil.
Baru-baru ini dilaporkan individu yang membuang sampah di tempat awam ketika berbuka puasa boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran Majlis Perbandaran Kota Bharu.
Langkah tersebut memberi isyarat jelas bahawa isu kebersihan bukan lagi sekadar teguran moral, sebaliknya perlu disokong dengan penguatkuasaan.
Namun persoalan lebih besar ialah, adakah masalah ini benar-benar mencerminkan sikap keseluruhan rakyat Kelantan?
Jawapannya tentu tidak. Tidak adil untuk menghukum seluruh masyarakat hanya kerana perbuatan segelintir individu. Hakikatnya ramai rakyat Kelantan yang menjaga kebersihan dan tidak selesa dengan imej negatif yang sering dikaitkan dengan negeri ini.
Namun realitinya, tindakan segelintir pihak sudah cukup untuk membentuk persepsi orang luar. Masalah sebenar mungkin bukan pada identiti masyarakat, tetapi pada tahap kesedaran sivik yang masih belum cukup kuat.
Apabila sampah dibuang merata-rata, kesannya bukan sekadar kepada alam sekitar. Ia turut mencalar imej negeri yang digelar Serambi Makah, sebuah negeri yang sinonim dengan nilai agama dan budaya yang tinggi.
Ironinya dalam ajaran Islam sendiri kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Jika nilai itu benar-benar dihayati, menjaga kebersihan sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama tanpa perlu dipaksa melalui denda.
Maka persoalannya bukan lagi siapa yang patut dipersalahkan, tetapi siapa yang sanggup berubah. Jika sikap tidak peduli terhadap kebersihan terus berulang, label tersebut akan terus menghantui rakyat Kelantan
Namun jika kesedaran kolektif dapat dibina bermula dengan tindakan kecil seperti mengutip dan membuang sampah di tempat sepatutnya, persepsi itu perlahan-lahan boleh diubah.
Akhirnya, imej sesebuah negeri bukan dibentuk oleh slogan atau kempen semata-mata. Ia dibentuk oleh sikap rakyatnya sendiri.
*Hazelen Liana Kamarudin ialah wartawan Sinar Harian Kelantan