Kejayaan MAHA perlu melangkaui angka

Iklan
Pengunjung melihat pelbagai pameran serta menyertai aktiviti yang disediakan pada MAHA 2026 di MAEPS, Serdang. Foto Bernama

PENGANJURAN Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu merekodkan pencapaian membanggakan.

Mana tidaknya, seramai 5.02 juta pengunjung termasuk 2.01 juta golongan belia memeriahkan program dwitahunan itu dari 28 Ogos hingga 6 September, sekali gus membuktikan keterujaan rakyat Malaysia terhadap sektor agromakanan di negara ini yang semakin berkembang maju.

Iklan
Iklan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu turut memaklumkan nilai jualan langsung sepanjang 10 hari mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM73.08 juta.

Tambah beliau, Memorandum Persefahaman (MoU) menerusi kolaborasi strategik juga berjaya dimeterai dengan jangkaan pelaburan sekitar RM10.35 bilion. Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan KPKM, malah memberi gambaran jelas bahawa sektor agromakanan masih memiliki daya tarikan luar biasa.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perasmian penutupan MAHA 2026 menyifatkan penganjuran kali ini antara yang paling berjaya dalam sejarah.

Penulis yang membuat liputan pada MAHA 2026 merasa teruja melihat kehadiran pengunjung memenuhi segenap ruang Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang meskipun berhadapan cuaca panas serta jerebu.

Iklan

Paling menarik apabila pengunjung dihidangkan dengan tarikan warisan seni dan budaya di pavilion negeri di mana Pavilion Sarawak dinobat Pavilion Negeri Terbaik, menewaskan juara bertahan enam tahun berturut-turut iaitu Pavilion Perak.

Dalam pada orang ramai menikmati kepelbagaian tarikan dari District 1 hingga District 4, tidak dinafikan acara kali ini hadir dengan beberapa cabaran yang wajar dijadikan pengajaran bagi menambah baik mutu penganjuran.

Di sebalik sambutan luar biasa terselit juga situasi di mana orang awam merungut akibat isu pengangkutan tram dan bas yang tidak mencukupi membuatkan mereka beratur panjang selain perlu menunggu terlalu lama.

Ditambah pula isu caj sewaan 'buggy' per jam tular di media sosial hingga mencetuskan persoalan dalam kalangan orang awam yang menyifatkannya sebagai agak 'keras'.

Bagaimanapun, reaksi keseluruhan masyarakat tetap memperlihatkan keterujaan yang tinggi.

Kepantasan KPKM dalam mengambil maklum segala kekurangan termasuk isu dewan utama terbakar juga wajar diberi penghormatan.

Iyalah, bukan mudah untuk mengendalikan acara berskala besar seperti MAHA kerana kesilapan teknikal sedikit sahaja mampu merencatkan kelancaran program.

Kepelbagaian produk tempatan, pertunjukan budaya, variasi makanan warisan negeri, teknologi, agrosafari serta aktiviti untuk keluarga dan anak muda menjadikan MAHA bukan sekadar destinasi industri, tetapi juga acara sosial yang menyatukan masyarakat.

Tuntasnya, kejayaan MAHA perlu melangkaui angka. Penganjuran MAHA 2026 yang bertemakan ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ perlu dilihat sebagai modal atau anjakan kepada transformasi sektor agromakanan yang lebih baik.

Cabaran selepas ini adalah memastikan MoU bernilai RM10.35 bilion benar-benar diterjemahkan kepada pelaburan, pekerjaan, teknologi dan pasaran baharu untuk petani, penternak, nelayan serta usahawan agro.

Jika susulan itu berjaya, MAHA bukan sahaja mencatatkan kehadiran tinggi, malah mampu meninggalkan legasi ekonomi yang benar-benar dirasai rakyat. Dalam erti kata lain, jumpa lagi di MAHA 2028!

* Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian