Program Iftar Kasih dan Harapan santuni klien AADK, perkukuh solidariti masyarakat

Iklan
Dari kiri: Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Petaling, Muhammad Sadiq Naman; Izzat; Pegawai Perhubungan MAPIM (jaket hitam), Viqar Mohamed. dan Ketua Daerah AADK Daerah Petaling, Mohd Lathfi Rohman menyerahkan menyerahkan sumbangan raya kepada salah seorang klien AADK.

SHAH ALAM - Persatuan Pembangunan Usahawan Produktif (PPUP), Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Petaling dan MAYC Kawasan Subang Jaya telah menjalin kerjasama strategik bagi menganjurkan program"Iftar Kasih dan Harapan – Secebis Rezeki Sejuta Erti" bertempat di Surau Raudhah Al Muttaqin, Seksyen 4, di sini pada Rabu.

Inisiatif kebajikan sempena bulan Ramadan ini bermatlamat memberikan sokongan moral dan bantuan material kepada golongan yang sedang dalam proses pemulihan sosial.

Iklan
Iklan

Ahli-ahli Persatuan Pembangunan Usahawan Produktif, Skuad AADK Daerah Petaling dan MAYC Kawasan Subang Jaya bergambar kenang-kenangan selepas berjaya menganjurkan program Iftar Kasih Dan Harapan – Secebis Rezeki Sejuta Erti di Shah Alam pada Rabu.

Pengerusi PPUP merangkap Koordinator Program, Izzat Zabir Sariff berkata, inisiatif tersebut membawa perspektif berbeza berbanding program Ramadan lazim yang kebiasaannya memfokuskan kepada kategori penerima tertentu sahaja.

Iklan

“Inisiatif ini memberi perhatian khusus kepada kumpulan yang sering terpinggir dalam masyarakat. Melalui semangat Ramadan yang menyatukan, kami berharap program ini dapat menyemai harapan baharu serta memperkukuh solidariti komuniti dalam menyokong usaha pemulihan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Program tersebut menghimpunkan penduduk setempat untuk berbuka puasa bersama klien AADK yang sedang menjalani program pemulihan.

Iklan

Selain itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan bakul makanan, duit raya serta pakaian raya kepada penerima yang terdiri daripada klien AADK dalam kategori asnaf dan B40.

Sementara itu, Pengerusi Skuad AADK Daerah Petaling, Sadiq Naman menyambut baik kolaborasi tersebut dan menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk merapatkan jurang antara agensi, komuniti dan klien.

Beliau berkata, klien AADK merupakan individu yang pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kini sedang mengikuti program pemulihan seliaan agensi.

“Melalui program ini, kita bukan sahaja menyantuni klien, malah keluarga mereka agar terus mempunyai kekuatan dan keyakinan bahawa masyarakat sentiasa bersama mereka dalam membina kehidupan baharu,” jelas beliau.

Izzat menyantuni anak klien AADK sementara diperhatikan oleh Viqar Mohamed, Pegawai Perhubungan MAPIM (jaket hitam) sementara Ketua Daerah AADK Daerah Petaling, Mohd Lathfi Rohman menyerahkan baju Raya kepada penerima sumbangan.

Selain tumpuan kepada aspek kebajikan, program ini turut mengangkat peranan golongan belia sebagai ejen pemangkin dalam komuniti.

Penglibatan aktif belia dilihat kritikal bagi membentuk persepsi positif masyarakat bahawa proses pemulihan memerlukan sokongan kolektif demi memastikan kelestarian kadar pemulihan yang lebih mampan.