SHAH ALAM – Penyertaan diplomat dan wakil kedutaan dari 13 negara dijangka menyerikan penganjuran World #QuranHour tahun ini yang bakal berlangsung pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, kehadiran duta dan pesuruhjaya tinggi dari pelbagai negara itu menunjukkan program berkenaan semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, antara yang dijangka hadir ialah wakil kedutaan dari Oman, Tajikistan, Rusia, Jordan, Iran, Afghanistan dan Iraq.
“Kehadiran para diplomat ini memberi peluang untuk mereka memahami mesej al-Quran dengan lebih dekat.
“Kita berharap mereka dapat membawa pulang kefahaman serta penghayatan terhadap kandungan al-Quran ke negara masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa ketika berkongsi perkembangan persiapan penganjuran program berkenaan.
Tambah Marhaini, pihaknya menyasarkan kira-kira 3,000 peserta akan hadir secara fizikal bagi menyertai program tersebut.
Menurutnya, selain masyarakat setempat, penyertaan juga dijangka melibatkan badan beruniform serta organisasi sekitar kawasan Gombak.
“Kita berharap penyertaan yang disasarkan dapat dicapai sekali gus mengimarahkan program World #QuranHour tahun ini,” ujarnya.
World #QuranHour 2026 bakal berlangsung serentak di seluruh negara pada Rabu bersamaan 21 Ramadan bermula jam 12 hingga 1 tengah hari, dengan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak sebagai lokasi perdana.
Dianjurkan oleh WUIF, acara itu julung kali dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris di lokasi perdana, manakala penganjuran di lokasi lain termasuk di negeri-negeri akan dijalankan dalam Bahasa Melayu dengan menampilkan Surah al-Muzzammil sebagai panduan utama.
Marhaini berkata, pelaksanaan program dalam bahasa Inggeris bertujuan meluaskan lagi capaian mesej al-Quran kepada masyarakat antarabangsa.
“Program ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi membawa misi untuk mewujudkan gelombang satu jam bersama al-Quran yang dilaksanakan serentak di seluruh Malaysia dan juga dunia.
"Kita juga berharap penganjurannya dapat terus memperkukuh usaha mendekatkan masyarakat dengan al-Quran serta menggalakkan penghayatan terhadap mesej yang terkandung di dalamnya," katanya.
World #QuranHour 2026 turut dijangka diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.