Tiada bazar Ramadan sepanjang PKP: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri. FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun sekiranya PKP telah tamat, Majlis Keselamatan Negara akan menyediakan standard operasi prosedur (SOP) berkaitan bazar Ramadan ini selepas perintah itu berakhir.

Iklan
Iklan

"Kita menerima cadangan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mesyuarat hari ini memutuskan perkara ini. Maka soal berkaitan bazar ini ditentukan selepas ini sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

"Selagi PKP ini diteruskan atau jika kerajaan terpaksa teruskan PKP, maka bazar Ramadan tidak dibenarkan," katanya pada sidang media (non-health) di sini hari ini.

Iklan

Mengulas mengenai peraturan jarak 10 kilometer (km) daripada kediaman yang dikuat kuasakan sebelum ini, Ismail Sabri berkata, ada budi bicara diberikan kepada polis bagi membolehkan golongan seperti mereka yang memerlukan khidmat di klinik dan hospital bergerak lebih daripada jarak tersebut.

"Kita benarkan individu yang mahu membeli produk makanan yang tidak berada dalam lingkungan 10km iaitu pada jarak paling dekat dengan jarak yang dihadkan.

Iklan

"Kita maklumkan, sebelum ini pergerakan antara negeri tidak dibenarkan tetapi bagi daerah yang bersempadan dengan negeri, jika wujud keperluan mendesak, polis mempunyai kuasa budi bicara.

"Sebagai contoh Gemas, Negeri Sembilan dengan Segamat, Johor dan Petaling Jaya dengan Kuala Lumpur, namun begitu, saya berharap rakyat Malaysia mematuhi peraturan dengan duduk di rumah," katanya.