HONG KONG - Syarikat penerbangan di Asia dilaporkan menaikkan harga tiket dan sedang merangka pelan kecemasan, termasuk kemungkinan menggantung operasi perjalanan pesawat, berikutan konflik di Asia Barat yang berpotensi mencetuskan krisis minyak paling teruk sejak 1970-an.
Menurut laporan Bloomberg, syarikat penerbangan India telah menaikkan tambang laluan jarak jauh sehingga 15 peratus manakala Vietnam memberi amaran harga tiket boleh meningkat sehingga 70 peratus kerana kebergantungan negara itu kepada bahan api jet import.
Pakar berkata, syarikat penerbangan serantau kurang dilindungi terhadap lonjakan harga minyak berbanding pesaing di Eropah dan Amerika Syarikat.
Ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada peningkatan mendadak harga bahan api dan mendorong beberapa penerbangan kos rendah di Asia Tenggara merangka senario penggantungan pesawat sekiranya bahan api menjadi terlalu mahal atau sukar diperoleh.
Air New Zealand menangguhkan panduan pendapatan tahun 2026 kerana harga bahan api jet yang berubah-ubah secara mendadak.
“Disebabkan keadaan yang belum pernah berlaku, anggaran harga bahan api jet yang menjadi asas panduan kami tidak lagi relevan.
"Krisis ini dijangka memberi kesan signifikan kepada pendapatan separuh kedua tahun kewangan,” menurut kenyataan syarikat itu.
Perang di Asia Barat sudah menyebabkan gangguan serius kepada penerbangan, dengan syarikat utama dan lapangan terbang di rantau ini hampir terhenti.
Ancaman kekurangan bahan api kini menjejaskan perjalanan udara global dalam keadaan tidak menentu.-Agensi