'Abang masuk semula ke bilik, dia terperangkap dan rentung'

Iklan
Api marak terlalu cepat mengakibatkan Che Norizah (gambar kecil) bukan sahaja hilang abang tetapi rumah tempat berlindung.

BACHOK -"Kami cuba halang tapi abang masuk semula ke dalam bilik, dia terperangkap dan rentung."

Demikian cerita Che Norizah Che Sulaiman, 38, mengenai kejadian meragut nyawa abangnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Che Mohd Faizul, 41, yang ditemukan rentung apabila rumah mereka terbakar di Kampung Mujur, Jelawat, di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ibu mereka, Rohani Mohamed, 66, melihat anak kedua daripada lima beradik itu rentung dijilat api.

"Empat hari sebelum kejadian abang yang mengalami masalah mental sudah menunjukkan perubahan sikap apabila dia tidak tidur dan sering mengugut untuk bunuh diri.

Iklan

"Kebiasaannya apabila ibu pujuk untuk ke hospital ambil ubat, abang akan patuh, tetapi kali ini tidak. Dia banyak menentang.

"Hari ini (Ahad) sekitar jam 9 pagi abang sekali lagi mengamuk dan menjerit mahu kami mati bersama. Dia sempat ambil pisau namun diselamatkan oleh ibu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini.

Iklan

Che Norizah memberitahu, kemuncak kejadian apabila Che Mohd Faizul telah mengambil mancis dan lari masuk ke dalam bilik.

Ujarnya, abangnya itu telah membakar tilam serta selimut tebal di dalam bilik.

Tambahnya, adiknya, Che Mohd Hafiz, 27, telah menendang pintu bilik untuk memadam api.

"Saya dan seorang lagi adik, Mohd firdaus, 37, pula mengheret abang keluar dari rumah.

"Kami pujuk dia namun abang tetap bertindak melarikan diri masuk semula ke dalam biliknya yang sedang terbakar. Api marak terlalu cepat sehingga menyebabkan abang terperangkap.

"Ibu maklum pada kami, abang sudah tiada, badannya rentung kerana api marak terlalu besar," katanya.

Che Noriza memberitahu, mereka tidak dapat menghubungi bomba kerana kesemua telefon ada di dalam rumah dan terbakar.

Namun katanya, ada orang kampung ternampak kejadian itu dan telah menghubungi bomba.

"Api marak terlalu cepat, kami bukan sahaja hilang abang tetapi rumah tempat berlindung.

"Setibanya bomba, api dapat dikawal dan mayat abang ditemukan dalam keadaan rentung. Mayatnya telah dibawa ke HRPZII (Hospital Raja Perempuan Zainab II)," katanya.

Menceritakan tentang abangnya itu, Che Norizah memberitahu, Che Mohd Faizul merupakan seorang peniaga dalam talian serta bekas pelajar diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan perkayuan namun tidak menamatkan pengajian akibat tekanan mental.

Ujarnya, abangnya itu bergantung kepada pengambilan ubat dan merupakan pelajar Anugerah Dekan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki OKU berusia 41 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di Kampung Mujur, Jelawat, di sini pada Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Zamizi Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam kira-kira 9.15 pagi.