SEPANG – Kejadian tular membabitkan seorang lelaki didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) di sini sebenarnya berpunca daripada seluar yang dipakainya dipercayai terlondeh secara tidak sengaja.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku pada 6 Mac kira-kira jam 9.50 malam di kaunter MyBorder di kawasan ketibaan antarabangsa KLIA T2.
“Individu terbabit merupakan seorang lelaki warga India berusia 44 tahun yang dipercayai telah terlepas penerbangan yang dijadualkan pada 5 Mac jam 8.45 malam selepas tertidur.
“Ketika berada di lokasi kejadian, lelaki itu menggaru bahagian paha kanan sehingga menyebabkan seluarnya terlondeh selama kira-kira dua minit,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, keadaan itu disedari oleh kakitangan terminal yang berada di lokasi sebelum menegur lelaki terbabit dan membantu memakaikan semula seluarnya.
Menurut Ravi, siasatan awal tidak mendapati sebarang unsur perbuatan lucah yang disengajakan oleh lelaki berkenaan.
Tambahnya, wakil syarikat penerbangan kemudiannya telah menghubungi waris lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada pihak Kedutaan India.
“Individu itu dijangka akan pulang ke negara asal pada 14 Mac ini,” katanya.
Sehubungan itu, Ravi menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kegusaran atau dianggap tidak senonoh di tempat awam.
“Tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham serta kegusaran kepada orang ramai terutama di kawasan tumpuan seperti lapangan terbang,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh berhampiran kaunter di KLIA T2 sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.