WASHINGTON - Rusia telah menyalurkan maklumat untuk membantu Iran menyerang kapal perang, pesawat dan aset ketenteraan lain milik Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.
Pendedahan itu dibuat The Washington Post memetik sumber rapat Perkhidmatan Risikan yang mendakwa Kremlin memberikan segala butiran tentang lokasi dan pergerakan musuh yang merupakan petunjuk pertama penglibatan Moscow dalam peperangan tersebut yang kini memasuki minggu kedua.
Sebahagian besar maklumat yang dikongsi ialah imejan daripada satelit canggih Rusia.
Risikan AS mendakwa China juga mungkin bersedia untuk menyediakan bantuan kewangan, alat ganti dan komponen peluru berpandu kepada Teheran.
"Beijing lebih berhati-hati dalam memberikan sokongannya. Ia mahu perang itu berakhir kerana konflik tersebut menjejaskan bekalan tenaga mereka.
"Hal ini kerana negara itu bergantung penuh kepada minyak Iran dan ia turut menggesa Teheran membenarkan laluan selamat kepada kapal perdagangan di Selat Hormuz," menurut satu sumber rapat.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth enggan mengesahkan secara rasmi tentang laporan tersebut dan dilihat cuba meremehkan perkara tersebut.
"AS sedang menjejaki segala-galanya dan memastikan maklumat tersebut diambil kira dalam strategi pertempuran semasa. Kami mempunyai perisikan terhebat di dunia," katanya dengan angkuh.
Difahamkan, Rusia dan Iran telah bekerjasama sejak lebih tiga tahun lalu dalam teknologi misil dan dron.
Teheran dipercayai menyediakan dron Shaed dan misil balistik jarak dekat untuk Perang Ukraine. - Agensi