SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern (James Chai) untuk tampil beri kerjasama, bukan mengeluarkan alasan di media massa.
SPRM dalam kenyataan menjelaskan, James telah dikenal pasti sebagai individu dikehendaki untuk segera hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurutnya, walaupun beberapa percubaan telah dibuat oleh Pegawai Penyiasat SPRM untuk menghubungi James, lelaki itu sehingga kini masih belum memberikan sebarang respons atau membuat pengaturan untuk tampil membantu siasatan.
"Sekiranya James berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya ialah tampil memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM.
"Bukannya mengeluarkan pelbagai alasan di media massa sambil mengelakkan diri daripada berurusan secara langsung dengan proses siasatan," katanya pada Jumaat.
Tambah SPRM, James diminta untuk segera menghubungi mana-mana pegawai penyiasat Abdullah Sani A Latib di talian 6018-286 8684, Mohd Hafidz Halim (017-504 6503), Ahmad Rizal Samat (013-433 4500), Farahani Fauzi (011-3343 5523) atau Mohamed Ali M Ahamed Ali (017-300 3699) tanpa berlengah bagi membincangkan pengaturan kepulangannya ke Malaysia untuk rakaman percakapan.
Katanya, SPRM menegaskan bahawa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa penguatkuasaan adalah tanggungjawab asas setiap warganegara apabila diperlukan untuk membantu sesuatu siasatan.
"Penjelasan melalui naratif awam dan kenyataan media tidak boleh menggantikan proses perundangan dalam siasatan kes.
"SPRM sekali lagi menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti serta tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang," ujarnya.