SHAH ALAM – Pertubuhan Hati Suci setakat ini telah menyalurkan dana hasil sumbangan orang ramai menerusi kempen Iftar 4 Gaza bagi membantu rakyat Palestin di Gaza sepanjang Ramadan.
Pengerusi Pertubuhan Hati Suci, Mohammad Zaidi Zainuddin berkata, dana tersebut telah disalurkan pada Isnin lalu melalui rangkaian yang dipercayai di Gaza bagi memastikan bantuan dapat sampai dengan segera kepada penduduk yang memerlukan.
Menurutnya, pada peringkat awal pihaknya merancang untuk menyalurkan bantuan melalui kaedah penghantaran udara, namun terpaksa menukar pendekatan berikutan kekangan keselamatan termasuk kawasan larangan terbang.
“Kita telah menyalurkan dana melalui rangkaian yang dipercayai di Gaza. Perancangan asal untuk menggunakan kaedah penghantaran udara tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat kekangan termasuk kawasan larangan terbang.
“Jadi kita memilih cara lain dan alhamdulillah melalui rangkaian yang ada di sana, bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, dana yang disalurkan itu digunakan bagi menyediakan bekalan air bersih serta juadah berbuka puasa kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik berterusan.
“Antara bantuan yang diberikan ialah penyediaan air bersih kerana sistem paip di sana banyak yang telah rosak, selain penyediaan makanan berbuka puasa untuk penduduk setempat.
"Setakat ini kira-kira 500 juadah berbuka puasa telah disediakan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di dua lokasi berbeza di Gaza termasuk di sebuah kem pelarian di utara wilayah berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, pihaknya akan terus menyalurkan sumbangan secara berperingkat bergantung kepada jumlah dana yang diterima daripada orang ramai.
“Kita akan hantar bantuan secara berperingkat. Bila ada sumbangan terkumpul, kita terus salurkan supaya bantuan dapat sampai dengan cepat kepada mereka di sana,” katanya.
Terdahulu, Pertubuhan Hati Suci dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf melancarkan kempen ‘Iftar 4 Gaza’ yang mengajak orang ramai menyumbang serendah RM1 bagi membantu rakyat Palestin mendapatkan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan dan Syawal.