MELAKA - Penantian enam beradik yatim piatu yang menunggu lebih lapan tahun untuk mendapatkan MyKad akhirnya menampakkan sinar apabila dua daripada mereka berjaya menerima dokumen pengenalan diri itu baru-baru ini.
Adik keempat daripada enam beradik itu, Khalid Abdullah, 16, berkata, sebelum ini dia sering risau akan masa depannya susulan ketiadaan dokumen pengenalan diri tersebut.
Menurutnya, selepas menerima dokumen kewarganegaraan itu, dia kini boleh menarik nafas lega dan menumpukan perhatian mengejar cita-citanya untuk menjadi ahli perniagaan.
“Perasaan saya sangat gembira dan tidak sangka akhirnya saya dapat MyKad. Bila saya pandang MyKad itu, ibarat saya melihat masa depan saya.
“Sebelum ini saya risau kalau tak dapat MyKad. Saya nak ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun depan, macam mana nak sambung belajar dan cari kerja. Sekarang rasa lega sangat,” katanya.
Khalid yang merupakan pelajar Tingkatan 4 di SMK Seri Tanjong berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Tangga Batu pada Khamis.
Enam beradik itu ialah Nur Aziza, 19; Ahmad Bahrom, 18; Mohammad Hadrul, 17; Khalid, 16; Mohammad Said Maulidin, 13; dan Siti Khadijah, 11.
Mereka dilawati bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan yang antara individu terawal membantu menguruskan mereka mendapatkan dokumen kewarganegaraan selepas kematian ibu bapa.
Selain Khalid, seorang lagi adiknya, Mohammad Said Maulidin, 12, yang kini belajar di Madrasah Rhadiatul Addawiyah turut menerima dokumen berkenaan.
Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau mula membantu adik-beradik itu mendapatkan sijil kelahiran dan MyKad sejak 2018 selepas pilihan raya.
Menurutnya, ibu mereka yang merupakan warga Filipina meninggal dunia pada 2016, manakala bapa yang berasal dari Sabah meninggal dunia pada 2021.
“Mereka ini tidak didaftarkan kelahiran menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan MyKad.
“Proses mendapatkan sijil kelahiran dan MyKad juga berdepan kesukaran kerana banyak dokumen tidak lengkap termasuk tiada sijil nikah dan dokumen kelahiran ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata, dua daripada mereka telah selesai proses mendapatkan MyKad manakala empat lagi adik-beradik itu dijangka memperoleh dokumen tersebut selepas beberapa prosedur permohonan selesai.
“Adik bongsu mereka kini berusia 11 tahun dan hanya boleh memohon MyKad selepas berumur 12 tahun iaitu Mei tahun depan.
“Tiga lagi iaitu kakak dan dua abang yang berusia 16 tahun ke atas perlu melalui proses lain yang dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan lagi,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mempercepatkan proses berkenaan.
“Insya-ALLAH apabila mereka mendapat MyKad, mereka tidak lagi tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
“Banyak perkara mereka tidak dapat sebelum ini kerana tiada MyKad. Bantuan kerajaan pun mereka tidak dapat. Buku pinjaman sekolah pun tidak dapat, jadi saya yang membeli buku, pakaian dan menanggung yuran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau pada masa sama memberi jaminan akan terus memantau kebajikan adik-beradik itu bersama masyarakat setempat bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran serta berpeluang melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan.
“Saya akan pantau pendidikan mereka. Saya sudah berjanji dengan mereka, selagi mereka belajar saya akan terus membantu.
“Saya hanya akan lepaskan tanggungjawab apabila mereka sudah bekerja nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kes enam beradik tersebut tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Jangan ambil kesempatan untuk kepentingan politik. Kesian kepada mereka. Tujuan kita hanya mahu membantu masa depan anak-anak ini.
“Mereka sebenarnya tidak ada masalah menerima sesiapa yang datang membantu, tetapi jangan ambil kesempatan atas kesusahan mereka,” katanya.