Tag satelit bantu penyelidik jejak penyu Sabah

Iklan
Tag satelit dipasang pada cengkerang penyu di perairan Sabah bagi mengenal pasti pergerakan haiwan marin tersebut. Gambar kecil: Liyana

KOTA KINABALU - Sebanyak 30 tag satelit akan dipasang pada dua spesies penyu di perairan Sabah bagi mengenal pasti habitat serta corak pergerakan haiwan marin itu, khususnya di kawasan Sandakan dan Semporna.

Pegawai Program Kanan Marine Research Foundation (MRF), Liyana Izwin Khalid berkata, peranti tersebut akan dipasang pada penyu hijau dan penyu karah sebagai sebahagian usaha penyelidikan serta pemuliharaan spesies berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peranti satelit itu disumbangkan oleh Yayasan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi membantu penyelidik mengenal pasti kawasan habitat penting penyu di perairan negeri ini.

"Peranti yang akan dipasang pada dua spesies penyu iaitu penyu karah dan penyu hijau yang ditemui di kawasan pulau sekitar Sandakan serta Semporna boleh bertahan antara enam bulan hingga setahun pada badan penyu.

Iklan

"Apabila penyu naik ke permukaan air, peranti satelit itu akan menghantar isyarat kepada satelit dan membolehkan penyelidik menjejaki pergerakan serta laluan migrasi haiwan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan dana daripada Yayasan Petronas pada majlis berbuka puasa di sini pada Khamis.

Majlis penyerahan itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Bacho Pilong; dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.

Iklan

Mengulas lanjut, Liyana berkata, maklumat yang diperoleh daripada peranti tersebut akan membantu penyelidik mengenal pasti kawasan penting seperti habitat makanan penyu.

"Sebagai contoh, jika penyu berada lama di sesuatu lokasi, ia menunjukkan kawasan itu mungkin habitat makanannya. Penyu hijau biasanya memakan rumpai laut (seagrass), manakala penyu karah lebih tertumpu di kawasan terumbu karang.

"Melalui data ini, penyu secara tidak langsung membantu penyelidik mengenal pasti kawasan habitat yang mungkin sukar dikesan secara manual, khususnya kawasan rumpai laut yang berada di dasar laut," katanya.

Katanya lagi, pemasangan peranti itu tidak mengganggu pergerakan penyu kerana ia dilekatkan pada bahagian belakang cangkerang sebelum dilepaskan semula ke laut.

Menurutnya, setiap peranti satelit yang digunakan menelan kos kira-kira RM25,000 termasuk peralatan dan langganan sistem pengesanan yang membolehkan data dihantar secara berkala kepada penyelidik.

Tambah beliau, kajian itu juga penting bagi memahami pergerakan penyu antara perairan Sabah dan negara jiran seperti Filipina atau Indonesia.

"Walaupun populasi penyu hijau menunjukkan peningkatan hasil usaha pemuliharaan global, maklumat mengenai penyu karah masih terhad terutama di Sabah.

"Penyu memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem laut. Penyu hijau membantu mengekalkan kesuburan kawasan rumpai laut, manakala penyu karah mengawal populasi hidupan seperti obor-obor.

"Jika populasi penyu berkurangan, ia boleh memberi kesan kepada keseluruhan rantaian makanan laut yang akhirnya turut menjejaskan sumber makanan manusia," katanya.

Sehubungan itu, Liyana berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan Petronas melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membantu memperkukuh usaha penyelidikan dan pemuliharaan hidupan marin di Sabah.

Sebanyak 10 penyu hijau dan 20 penyu karah dikenal pasti untuk dipasang tag satelit tersebut di beberapa lokasi utama termasuk Pulau Gulisan dan Pulau Selingan di Taman Pulau Penyu, selain Pulau Lankayan, Pulau Sipadan dan Pulau Pom Pom.