BULAN Ramadan menjelang lagi, maka suasana masjid dan surau mulalah beroperasi dengan peranan masing-masing bagi menunggu ketibaan para jemaah dari pelbagai lapisan komuniti, sama ada kecil atau besar, sokongan muda dan dewasa.
Tujuannya tidak lain, semata-mata untuk beribadat kepada Ilahi demi memperoleh pahala dan juga untuk peningkatan ketaqwaan.
Kemeriahan masjid dan surau dirasai di seluruh negeri, serta negara dan umumnya di serata dunia Muslim yang berfungsi sebagai rumah ALLAH SWT bagi menunaikan ibadat kepada-Nya dengan seikhlas mungkin.
Sejarah pembinaan masjid ini telah terkenal dalam lipatan sirah Nabawiyyah iaitu semasa peristiwa Rasulullah SAW berpindah atau berhijrah dari kota Mekah ke Yathrib.
Sesungguhnya ketika Baginda tiba di satu daerah bernama Quba’, Baginda telah membina majid pertama pada 8 Rabiul Awwal, tahun ke-14 Rasulullah diutuskan iaitu tahun pertama Hijrah yang bersamaan dengan 23 September 622 Masihi.
Kemudiannya, apabila unta Al-Qaswa’ yang dinaiki Baginda dengan ditemani kawannya Saidina Abu Bakar As-Siddiq bergerak ke Yathrib, perkara pertama yang turut sama dilaksanakan Baginda adalah memilih lokasi perhentian unta tersebut yang bertujuan untuk pembinaan masjid baharu di Madinah Al-Munawwarah.
Akhirnya, unta Baginda berhenti di sebidang tanah yang dimiliki oleh dua orang anak yatim bernama Sahl ibn Amr dan Suhail ibn Amr. Baginda membayarnya dengan harga 10 dinar emas daripada harta Abu Bakar As-Siddiq.
Seterusnya, kempen pembinaan Masjid Nabawi ini dimulakan oleh Rasulullah sendiri dan para sahabat Muhajirin serta penduduk Madinah golongan Ansar sehinggalah selesai pembinaannya.
Bermula dari situlah, peranan masjid bukan hanya setakat tempat untuk beribadat kepada ALLAH sahaja, namun berkembang sebagai satu lokasi utama bagi pertemuan antara kaum Muslimin dan juga pelbagai kabilah untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seharian.
Masjid juga berperanan sebagai satu tempat untuk menyusun strategi dan melancarkan pelbagai tindakan dan gerakan. Di sinilah, kaum Muslimin berjumpa, bersosial, bermesyuarat, dan berbincang untuk membuat sesuatu keputusan yang penting seperti pelaksanaan perundangan, atau melancarkan strategi peperangan dan sebagainya.
Malahan, masjid juga dijadikan satu tempat perlindungan utama khususnya bagi individu yang tidak berkemampuan dari aspek kewangan, ketiadaan rumah atau harta. Mereka akan berada di masjid sebagai satu lokasi perlindungan dari panas dan hujan.
Setelah beredarnya masa dan zaman yang silih berganti, maka peranan masjid semakin berkembang dan meluas yang menjadikan fungsinya sebagai pusat penyebaran pengetahuan dan ilmu keagamaan serta aktiviti kebudayaan dan kemasyaratan.
Hal ini perlu diteruskan pada zaman teknologi kini walaupun melangkau ke era Digital 4.0, generasi Alpha yang penuh pendedahan dengan media sosial, masih perlu dijinakkan dengan peranan asal masjid iaitu bertujuan melahirkan Jilul Quran (Generasi Quran) yang kukuh teguh mempunyai ketaqwaan dalam beragama.
Bukannya sebagai insan yang mudah koyak dan mempunyai lapisan iman senipis kulit bawang iaitu mudah terpengaruh dengan budaya kuning, senang ditimpa tekanan dan depression sehingga membawa kepada akhlak mazmumah atau perangai hina dan keji.
Rentetan itu, selepas peluncuran rancangan pendidikan negara pada peringkat sekolah dan pendidikan tinggi pada awal tahun ini, yang berfokus melahirkan bakat negara yang holistik, maka seharusnya institusi yang bertanggungjawab untuk membentuk generasi masa hadapan perlu memainkan peranan sebaiknya.
Sudah semestinya bermula dengan tadika, sekolah sehingga ke universiti dan menara gading berperanan besar melahirkan bakat negara yang berkualiti dan cemerlang.
Malahan, peranan melahirkan insan berkualiti ini juga boleh diselaraskan bersama oleh institusi masjid dan surau di serata pelusuk negeri.
Masjid dan surau boleh bertindak sebagai tempat menyatupadukan komuniti dari pelbagai latar belakang, pusat penyemaian nilai murni, pusat informasi dan rujukan maklumat dan boleh dijadikan sebagai nadi pembangunan ummah keseluruhannya.
Hal ini bertepatan sekali dengan masa dan saat berlangsungnya satu peristiwa bersejarah pada bulan Ramadan tahun ini apabila perasmian sebuah masjid di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan ibrahim yang mencemar duli berangkat pada tanggal 3 Mac 2026 bersamaan 13 Ramadan 1447 Hijri bagi merasmikan ‘Masjid UPNM Sultan Ibrahim’.
Semoga dengan perasmian ini, peranan masjid berkenaan mampu mendidik warganya menjadi insan mulia yang mempunyai semangat patriotisme setinggi dan setebal iman Panglima Muhammad Al-Fateh.
Inspirasi tokoh ini dalam kalangan warganya amat signifikan kerana beliau yang berjaya membuka kota Konstantinopel selepas berlalunya kurang lebih 800 tahun selepas dilafazkan hadis Rasulullah semasa menggali parit bagi menghadapi perang Khandaq.
Panglima Muhammad Al-Fateh turut membina masjid berdekatan dengan maqam sahabat Rasulullah iaitu Abu Ayyub Al-Ansari sebagai tanda penghormatan atas kesungguhan berjuang di jalan ALLAH demi membuka kota Konstantinopel.
Oleh itu, harapan menggunung tinggi untuk Masjid UPNM Sultan Ibrahim ini berperanan seperti yang dibina oleh junjungan besar Rasulullah pada awal kelahiran Islam dahulu demi melahirkan karamah Insaniyah yang sebenar.
Usaha murni sebegini adalah bersesuaian kerana setiap insan yang mengimarah dan menghidupkan masjid dan surau dengan seikhlas hatinya, maka mereka bakal diberikan kedudukan yang tinggi dan diberikan kemuliaan di sisi ALLAH.
Tambahan pula, mereka akan tergolong dalam golongan yang beriman dan bertaqwa kepada penciptanya. Hal ini selari dengan sasaran memperoleh ketaqwaan yang menjadi objektif utama bagi individu yang berpuasa pada Ramadan ini. Oleh yang demikian, ALLAH telah berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 18 yang bererti:
“Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid ALLAH itu ialah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada ALLAH, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.
Secara kesimpulannya, sesebuah masjid atau surau yang dibina atas nilai ketaqwaan sebenar mampu melahirkan masyarakatnya yang beriman, beretika, holistik dan seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi.
Janganlah disebabkan kehadiran pandemik atau bala ujian pada masa hadapan akan menyebabkan kita sekali lagi tidak boleh ke masjid atau surau yang dirindui.
Bersihkan persepsi salah kita yang lama berkaitan dengan institusi masjid ini yang hanya untuk beribadat semata-mata, dengan merancang pelbagai pengisian aktiviti untuk setiap lapisan komuniti kanak-kanak, golongan muda, dewasa, dan orang tua.
Hal ini mampu meterjemahkan peranan dan fungsi sebenar masjid seperti yang dimulai oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW agar kebejatan sosial dalam kalangan remaja kini dapat dihindari dari kita semua.
*Prof. Dr Hasan Al-Banna Mohamed ialah Penolong Naib Cansleor (Pengurusan Data dan Kualiti), merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)