TEHERAN - Iran telah menyerang tempat persembunyian kumpulan pemisah yang sedang merancang untuk menyerang negara itu merentasi sempadan barat dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, menurut Kementerian Perisikan Iran pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kumpulan pengganas pemisah itu berhasrat, dengan sokongan musuh Amerika-Zionis, untuk mengambil kesempatan daripada keadaan ketenteraan, menyeberangi sempadan barat negara dan melancarkan serangan ke atas kawasan sempadan serta bandar bagi tujuan pemisahan.
Iklan
Iklan
"Namun, dalam operasi serangan pencegahan bersama oleh Kementerian Perisikan dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), sebahagian besar kedudukan dan kemudahan milik tentera upahan itu telah dimusnahkan, dan mereka menanggung kerugian besar,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, angkatan bersenjata Iran beberapa jam lalu melancarkan gelombang ke-19 Operasion True Promise 4 terhadap sasaran AS dan Israel di Asia Barat, menurut IRGC pada Khamis.
"Dengan letupan kuat … gelombang ke-19 Operasion True Promise 4 bermula sebagai operasi menyeluruh peluru berpandu dan dron terhadap kedudukan musuh jauh di Israel serta di pangkalan pengganas AS di rantau ini,” menurut IRGC seperti dipetik oleh penyiar IRIB.
Pada 28 Februari, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran termasuk di Teheran, menyebabkan kerosakan serta korban dalam kalangan orang awam.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas wilayah Israel dan pangkalan tentera AS di seluruh Asia Barat. - Bernama