KOTA BHARU – World #QuranHour (WQH) Kelantan menyasarkan kehadiran seramai 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat di lokasi utama di Masjid As-Siddiqin mukim Panchor, Pengkalan Chepa di sini tahun ini.
Pengarah Program WQH Kelantan, Muhamad Bokhari berkata, penglibatan semua generasi tua dan muda pada program itu amat penting bagi merealisasikan tema tahun ini iaitu Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) berkata, pembinaan bangsa perlu bermula dengan pengukuhan jati diri berlandaskan al-Quran.
“Orang muda memerlukan bimbingan dan pengalaman golongan lebih berusia, manakala orang tua pula memerlukan tenaga serta semangat anak muda.
“Surah al-Muzzammil yang dipilih tahun ini sangat bertepatan untuk menyatukan kedua-dua kelompok ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, walaupun terdapat banyak surah lain dalam al-Quran, pemilihan surah al-Muzzammil oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) sebagai peneraju kempen membawa mesej signifikan dalam membaiki kekuatan dalaman masyarakat.
“Harus diakui ramai antara kita masih belum benar-benar kukuh teras hidup berlandaskan al-Quran.
“Masih ada kelonggaran dalam penghayatan dan inilah masanya untuk kita perbaiki secara bersama,” jelasnya.
Program WQH akan diadakan pada 21 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan Rabu, 11 Mac ini dari jam 11 pagi hingga 1 petang.
Orang ramai yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh mengikuti siaran langsung menerusi platform digital rasmi penganjur dan PRNNK.